KERAJAAN telah memutuskan bahawa harga siling topeng muka ditetapkan pada harga RM1.50 berkuat kuasa pada 1 April ini. Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harga baharu itu diputuskan dalam mesyuarat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: 10 juta topeng muka diimport dari China "Topeng muka tak banyak dikeluarkan di dalam negara, kebanyakan diimport dari negara luar, jadi kita terikat dengan harga import. "Oleh itu mesyuarat bersetuju bahawa harga siling topeng muka adalah RM1.50 iaitu 50 sen lebih murah dari harga yang ditetapkan lebih awal iaitu RM2," ujarnya dalam sidang media harian Covid-19, pada Isnin. Menurutnya Ismail lagi, kerajaan akan mengkaji harga siling topeng muka dari semasa ke semasa. Sebelum ini Ismail dalam kenyataannya berkata kerajaan memutuskan untuk menurunkan paras harga siling topeng muka yang ketika ini ditetapkan pada kadar RM2 sekeping, di mana kerajaan mendapati kadar itu terlalu tinggi. Untuk rekod, harga topeng muka dalam pasaran sebelum krisis kekurangan bekalan hanyalah 80 sen sekeping sebelum dinaikkan kepada RM2 sekeping oleh KPDNHEP dengan alasan peningkatan kos pengeluaran. Ketika ditanya sama ada kerajaan akan turut membuat penetapan harga siling terhadap cecair pembasmi kuman atau hand sanitizer, Ismail berkata perkara itu masih belum ditetapkan buat masa ini. "Setakat ini KPDNHEP belum tetapkan harga siling bagi sanitizer... kalau kita tahu ia punyai jenama yang berbeza yang harganya mungkin berbeza ikut jenama. Ada yang import dan ada keluaran tempatan. "Setakat ini tiada ketetapan harga terkawal seperti topeng muka. Kita akan bincang dengan KPDNHEP jika ada keperluan," ujarnya lagi.