suria

Model sistem penggiliran kenderaan di Terengganu diteliti - “Ada cadang celup jari seperti mengundi, pakai kad warna”

Kerajaan akan meneliti kaedah sistem penggiliran dalam usaha mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya sebagaimana yang akan dilakukan di Terengganu.

KERAJAAN tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan sistem penggiliran dalam usaha mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya sebagaimana yang akan dilaksanakan kerajaan negeri Terengganu.

Menurut Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagaimanapun langkah berkenaan perlu dikaji terlebih dahulu memandangkan jumlah kenderaan yang lebih besar di seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Penguatkuasaan PKP lebih tegas...“Sebenarnya ini kemahuan rakyat” - Ismail Sabri

ARTIKEL BERKAITAN: Penghuni dalam komuniti berpagar tak terkecuali, arahan PKP menyeluruh kepada semua rakyat - Ismail Sabri

"Itu satu model yang sangat bagus oleh kerajaan Terengganu. Tapi kita akan lihat sebab mungkin di Terengganu jumlah kenderaannya agak kecil sedangkan di seluruh negara jumlahnya begitu besar terutamanya di Kuala Lumpur. Kita akan lihat dan kaji.

"Banyak yang dicadangkan oleh rakyat. Ada yang minta celup jari seperti mengundi, ada yang cadangkan pakai kad berwarna berbeza setiap hari, boleh pertimbangkan dan lihat secara detail setiap cadangan.

"Kalau sesebuah negeri sudah laksanakan, mungkin kita akan menelitinya," katanya dalam sidang media harian Covid-19 pada Selasa.

Terdahulu beliau ditanya oleh pemberita sama ada kerajaan akan mengikut langkah Terengganu yang bakal memperkenalkan sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan bagi mengurangkan pergerakan kenderaan di jalan raya.

Menerusi langkah yang diperkenalkan oleh polis Terengganu itu, kenderaan dengan nombor pendaftaran ganjil dibenarkan berada di jalan raya pada hari pertama, diikuti nombor genap pada hari berikutnya.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata langkah itu bertujuan memperketatkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang bermula Rabu dengan pelaksanaannya dijangka dapat mengurangkan 50 peratus jumlah kenderaan di jalan raya termasuk motosikal.

Sistem itu akan bermula pada 1 April (Rabu) dan  berterusan sehingga 14 April ini.

PKP, penggiliran, Terengganu, kenderaan

Artikel Lain