suria

Ismail Sabri sedar rakyat resah, beri ‘formula’ selesai ketakutan tak dapat sambut Ramadan, Aidilfitri

Jika suasana di seluruh negara seperti ini sekaligus bermakna peratusan pematuhan PKP meningkat tentu ia dapat membantu memutuskan rantaian Covid-19.

RAKYAT negara ini dapat kembali menjalani kehidupan seperti sebelum ini jika sama-sama mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelbagai persoalan timbul ketika ini apabila negara bakal memasuki fasa kedua PKP mulai esok sehingga 14 April ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP dilanjutkan hingga Ramadan?... Masih terlalu awal, tunggu selepas minggu pertama April kata Dr Noor Hisham

"Ramai yang bertanya apakah PKP akan diteruskan sehingga ketiga atau keempat, adakan pada bulan puasa ia akan diteruskan, bolehkan kita berhari raya dan sebagainya. Saya tahu ramai rakyat mahu tahu.

"Dalam hal ini, yang boleh pastikan PKP tiga dan empat, juga boleh berhari raya seperti biasa atau tidak hanya tuan-tuan dan puan-puan sendiri.

"Jika boleh patuhi SOP dan PKP yang ditetapkan kerajaan, saya pasti ketakutan kita akan dapat diselesaikan," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama menteri besar dan ketua menteri berkaitan Covid-19 di Putrajaya, Selasa.

Beliau juga menekankan langkah memperketatkan SOP PKP fasa kedua ini bagi memastikan kurangnya pergerakan dalam kalangan rakyat sekali gus dapat menghalang rantaian Covid-19.

Soalan sama turut diajukan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media pada Isnin.

Jelas beliau, ketika ini masih terlalu awal untuk memutuskannya dan adalah lebih sesuai jika menunggu selepas minggu pertama April supaya pihaknya dapat memantau situasi wabak berbahaya itu di negara ini secara keseluruhannya.

Setakat ini, kerajaan melanjutkan PKP sehingga 14 April, manakala tiga kawasan telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu dua kampung di Simpang Renggam, tujuh perkampungan di Hulu Langat dan sebuah kondominium di ibu negara.

Artikel Lain