suria

“Tak timbul isu beramai-ramai dalam lokap” - SOP lebih ketat, menteri tegaskan rakyat perlu serius patuh PKP fasa 2

Anggota polis dibantu anggota TUDM dari Pangkalan Udara Subang dan Kem Rejimen 502 Askar Wataniah Kem Sungai Buloh membuat pemeriksaan ke atas pemandu yang melalui sekatan jalan raya sepanjang tempoh PKP di Seksyen 7, Shah Alam pada Selasa. fotoBERNAMA

TIDAK timbul isu mereka yang ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan ditempatkan ke dalam lokap secara beramai-ramai.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), individu terbabit pertama sekali akan dibawa ke balai polis sebelum tindakan selanjutnya diambil. 

"Dari segi peraturannya mereka yang ditahan akan dibawa ke balai polis. Di situ polis akan tentukan sama ada mereka akan dikompaun atau diberi jaminan polis untuk pulang.

"Seterusnya kertas siasatan dihantar ke Peguam Negara untuk diambil tindakan seterusnya. Jadi tak ada isu mereka akan ditahan di dalam lokap beramai-ramai," katanya pada sidang media petang Selasa.

Ismail Sabri berkata, dalam hal ini kerajaan tetap menekankan SOP penjarakan sosial dalam menangani penularan wabak Covid-19, termasuklah di lokap.

Tambahnya, dalam masa yang sama kerajaan juga sedar kebimbangan akan wujud kluster baharu penularan wabak itu jika berlaku lambakan tahanan.

"Tak mungkin kita letak mereka berasak-asak. Mereka akan dibenarkan pulang dan dicaj di mahkamah," katanya.

Bagaimanapun Ismail Sabri menekankan bahawa, PKP fasa kedua yang akan bermula Rabu akan dilaksanakan dengan lebih ketat dan tegas berbanding fasa pertama yang mempunyai banyak kelonggaran dan pengecualian.

"Saya ingin tekankan 165 individu telah dituduh di mahkamah dengan enam daripada mereka telah dijatuhkan hukuman denda atau penjara.

"Di Sarawak hukuman penjara yang dikenakan terhadap pesalah yang ingkar PKP... hukuman penjara satu hingga empat bulan. 

"Jadi saya harap semua rakyat mengambil serius perintah ini. Saya harap mereka patuh setiap arahan dikeluarkan. Jangan sampai kita ke penjara," katanya.

Ismail Sabri, PKP, SOP, tahanan, lokap

Artikel Lain