suria

Umat Islam diminta tangguh persiapan haji dan umrah - Arab Saudi

Kesihatan umat Islam seluruh dunia menjadi keutamaan ketika pandemik Covid-19 menular.

ARAB Saudi meminta umat Islam di seluruh dunia menunggu sehingga situasi mengenai pandemik koronavirus lebih jelas sebelum merancang untuk mengerjakan haji, kata Menteri Haji dan Umrah Dr Mohammed Saleh bin Benten kepada stesen TV negara itu pada Selasa.

Awal bulan ini, Arab Saudi menghentikan sementara ibadat umrah berikutan kebimbangan terhadap Covid-19 yang menular ke bandar-bandar dan tanah suci Makkah, satu langkah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini sekali gus menimbulkan tanda tanya berhubung ibadat haji tahunan.

ARTIKEL BERKAITAN: Arab Saudi gantung kemasukan jemaah umrah susulan penularan Covid-19

Kira-kira 2.5 juta jemaah haji dari seluruh dunia biasanya berkumpul di Makkah dan Madinah pada musim haji, yang mana pada tahun ini ia dijadualkan bermula pada Julai. Haji juga adalah sumber pendapatan yang besar bagi kerajaan Arab Saudi.

”Arab Saudi bersedia sepenuhnya untuk memberi khidmat kepada jemaah haji dan umrah," kata Mohammed Saleh kepada stesen TV Al-Ekhbariya.

"Tetapi melihat keadaan semasa, ketika kita bercakap mengenai pandemik global... kerajaan cenderung untuk melindungi kesihatan umat Islam dan rakyat justeru kami meminta saudara-saudara Islam di semua negara untuk menangguh dulu sebelum membuat persediaan haji sehingga situasinya jelas.”

Selain menangguhkan umrah, Arab Saudi juga menghentikan semua penerbangan penumpang antarabangsa dan minggu lalu menyekat pintu masuk dan keluar ke beberapa bandar raya, termasuk Makkah dan Madinah.

Ziarah dan musim haji menjadi satu perniagaan besar untuk Arab Saudi dan tulang belakang rancangan untuk meningkatkan bilangan pelawat di bawah agenda reformasi ekonomi Putera Mahkota, Mohammed bin Salman.

Membatalkan haji tidak pernah berlaku sebelum ini pada zaman moden, tetapi menghadkan kehadiran dari kawasan berisiko tinggi telah berlaku sebelum ini, termasuk dalam tahun-tahun kebelakangan ini semasa wabak Ebola.

Setakat ini, Arab Saudi dilaporkan telah mencatatkan lebih dari 1,500 kes koronavirus yang dan 10 kematian. Secara global, lebih dari 825,000 orang telah dijangkiti dengan lebih dari 40,000 kematian direkodkan. -AlJazeera

haji, tangguh, Arab Saudi, Covid-19

Artikel Lain