suria

PKP bukan tempoh ‘bulan madu’ pelajar, tak ke sekolah tapi kelas online on - “Masa terbaik ibu bapa lihat sukarnya tugas guru”

Dua beradik ini memanfaatkan tempoh PKP dengan melakukan ulangkaji secara online.

KETIKA ini negara sudah memasuki fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan berakhir 14 April ini dan ia sekaligus bermakna sesi persekolahan juga masih dalam mode 'cuti'.

Tempoh PKP fasa pertama bermula 18 Mac lalu dan berakhir 31 Mac sebelum dilanjutkan ke fasa kedua selama dua minggu bermula 1 April 2020 susulan wabak Covid-19.

Sebelum itu sesi cuti persekolahan penggal pertama berlangsung selama seminggu bermula 14 Mac dan berakhir 22 Mac lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian! PM umum lanjutkan tempoh PKP sehingga 14 April

ARTIKEL BERKAITAN: Tak tahu buat apa cuti sekolah? Jom ulangkaji secara e-pembelajaran di dimsum entertainment

Mungkin ada yang beranggapan pelajar sekolah rendah dan menengah pastinya seronok menikmati ‘bulan madu’ di rumah selama hampir sebulan.

Mana tidaknya tiap hari dapat bersantai di rumah dengan keluarga, bermain, menonton televisyen atau ada yang membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja rumah dan mempelajari kemahiran baharu bagi memenuhi masa lapang.

Namun, tanggapan cuti berpanjangan yang dilalui pelajar sekolah tidak lagi relevan di zaman tekonologi kini di mana akses kepada ilmu dan pendidikan hanya di hujung jari.

Mulai awal minggu ini, senario rutin harian majoriti pelajar sama ada di sekolah kebangsaan, menengah dan vokasional di seluruh negara mulai berubah apabila pihak sekolah telah memulakan kelas online secara berperingkat-peringkat.

Guru kelas mula mengirim bahan latihan mengikut guru subjek ke grup kelas masing-masing untuk anak murid siapkan pada tempoh ditetapkan.

Muhammad Razin Al-Hakimi teruja membuat latihan yang diberikan oleh guru secara online.

Selain itu, ada guru yang memberi kuiz berselang-seli dengan latihan untuk menarik perhatian pelajar.

Yang pasti, ibu bapa turut diminta supaya memantau dan membantu mendaftar beberapa aplikasi untuk memudahkan proses kelas di alam maya ini sama ada menggunakan laptop atau telefon bimbit.

Seorang pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) Kuantan, Pahang, Muhammad Razin Al-Hakimi Alabror teruja melakukan latihan yang diberikan guru walaupun ada kalanya ia agak sukar kerana soalan dijawab tanpa mengikuti kelas harian seperti biasa.

"Memang menarik sebab dapat guna laptop untuk jawab soalan pelbagai subjek yang diberi guru setiap hari," katanya pelajar autisme berusia 17 tahun yang mengikuti bidang Pembantu Am Pertanian di sekolah berasrama itu.

Yusuf Rizqn Al-Hakimi memanfaatkan tempoh PKP dengan mengulangkaji dan melakukan kerja sekolah yang disediakan oleh guru.

Sementara itu, adiknya yang kini di Tahun Lima di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh, Selangor juga melalui proses sama apabila masa mula diisi dengan kerja sekolah yang disediakan guru.

"Kuiz yang diberikan perlu dijawab dalam masa setengah jam. Ia macam ada dalam kelas tetapi sebenarnya kami semua ada dirumah kerana Covid-19.

"Selain itu, ada juga latihan yang perlu disalin ke dalam buku, ada yang dijawab terus secara online," kata Yusuf Rizqn Al-Hakimi Muhammad Alabror.

Tindakan pihak sekolah ini seiring situasi semasa, di mana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengeluarkan garis panduan memperincikan peranan dan tanggungjawab pentadbir, guru, ibu bapa serta pelajar bagi memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa.

Menyediakan garis panduan lengkap dengan pelantar untuk diakses, pastinya ia tidak boleh dijadikan alasan untuk pelajar terus ‘berbulan madu’ lagi.

Walaupun pembelajaran menerusi alam maya mungkin dilihat sedikit mencabar dan terhad, namun sebenarnya situasi ini perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar, contohnya ibu bapa berperanan sebagai ‘cikgu’ sementara ketika di rumah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang. Foto: Raja Faisal Hishan/The Star

“Ini merupakan satu masa terbaik untuk ibu bapa melihat sendiri bagaimana sukarnya tugas guru dalam memberikan pendidikan kepada pelajar.

“Dan sudah tiba masanya ibu bapa berada dekat dan rapat dengan anak-anak, menjadi pendorong untuk mereka mengikuti PdP secara dalam talian.

“Masa inilah juga ibu bapa boleh melihat dan menilai sendiri pencapaian dan sifat sebenar anak-anak. Ibu bapa memainkan peranan yang penting untuk membantu guru menjayakan PdP kerana ketika ini anak-anak berada dalam kawalan mereka sepenuhnya,” kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang kepada mStar.


Paparan laman web yang disediakan oleh KPM untuk PdP.

Menurut Aminuddin, sepanjang tempoh PKP yang berlangsung hampir sebulan, semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pelajar sendiri perlu memainkan peranan penting memandangkan KPM sudah menyediakan garis panduan yang lengkap.

“Guru-guru semestinya perlu menuruti saranan kerajaan dan bertugas seperti biasa dan melaksanakan PdP ketika ini. Situasi ini pertama kali berlaku, dan mungkin agak sukar buat semua. Dalam tempoh sekarang dalam keadaan ‘baru’, guru-guru usah terlalu ditekan.

“Namun saya pasti setiap guru kreatif dalam menjalankan tugasnya, menggunakan kemudahan Internet dan juga kaedah yang bersesuaian.

“Matlamat utama, guru menyampaikan ilmu agar pelajar tidak ketinggalan dan dalam masa yang sama pelajar dapat memanfaatkan masa di rumah dengan perkara berfaedah,” ujarnya lagi.

KPM menyediakan garis panduan yang lengkap beserta pautan untuk diakses oleh guru, ibu bapa dan pelajar.

Dalam pada itu, Aminuddin tidak menolak kemungkinan bahawa PdP ini mungkin tidak 100 peratus diikuti sepenuhnya oleh pelajar.

“Itu tak boleh elak. Tapi pasti ada dalam kalangan pelajar yang memang suka nak belajar. Apapun KPM, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah dan guru sudah cuba melakukan yang terbaik agar pelajar tidak ketinggalan.

“Begitu juga kita faham ada pelajar yang tak mempunyai akses internet atau laptop. Namun itu juga diambil kira di mana guru boleh menggunakan media sosial yang bersesuaian, buku teks dan bahan lain asalkan PdP berlaku,” ujarnya lagi.

KPM menyediakan plaform pembelajaran iaitu MOE-DL boleh diakses melalui www.moe-dl.edu.my

Platform ini menyediakan pautan kepada:

*Google Classroom dan Microsoft Teams untuk tujuan PdP.

*Edpuzzle (aplikasi pengajaran menggunakan video secara interaktif).

*Quizizz (kuiz berbentuk permainan).

*Kahoot (pembelajaran berasaskan permainan).

*EduwebTV (koleksi video).

*CikgooTube (perkongsian koleksi video daya usaha kreativiti guru) 

PKP, PdP, guru, pelajar, ibu bapa, KPM, online, bulan madu

Artikel Lain