suria

ATM diserbu! Penerima BPN diingat tak berebut, patuh arahan jarak 1 meter

Orang ramai yang hadir ke bank di seluruh negara untuk mengeluarkan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) diingatkan untuk mematuhi arahan penjarakan sosial 1 meter. -Gambar hiasan (FB Penangkini)

ORANG ramai yang hadir ke bank di seluruh negara untuk mengeluarkan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) diingatkan supaya mematuhi arahan penjarakan sosial satu meter antara satu sama lain, sebagaimana yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa yang sama turut menasihatkan orang ramai untuk tidak bersesak dan berebut-rebut demi menjaga keselamatan masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN: “B40 terlebih dahulu terima bantuan, seterusnya M40” – Bayaran fasa pertama BPN mulai 6 April

ARTIKEL BERKAITAN: Soalan-soalan lazim Bantuan Prihatin Nasional... apa yang anda perlu tahu?

"Saya dah sebut dari awal lagi, jangan bersesak-sesak ke bank. Kita telah setuju mulai hari ini ATM tak kenakan caj RM1 kepada sesiapa yang keluarkan wang.

"Tak perlu berebut dan arahan pematuhan penjarakkan sosial satu meter masih kekal. Walau terpaksa beratur, pihak bank perlu hadkan kemasukan ke dalam bank," ujarnya dalam sidang media pada Isnin.

Ismail juga memberi contoh bagaimana sebuah pasar raya besar yang berpeluang dikunjunginya baru-baru ini telah mematuhi arahan penjarakkan sosial apabia pelanggan beratur panjang kerana mengikut giliran masuk membeli barang keperluan.

"Panjang barisannya sebab supermarket itu patuh kepada arahan KKM, cuma ada satu pintu masuk dan satu pintu keluar sahaja.

"Saya sempat bertanya kepada pengunjung, adakah mereka okay? Mereka kata okay, dan menerimanya demi kesihatan. Malah ada yang sudah setengah jam beratur namun tetap sanggup demi keselamaan nyawa.

"Jadi di bank atau di mana-mana pun mesti patuhi arahan penjarakkan sosial ini," ujarnya lagi.

Pembayaran BPN akan dibuat dalam dua fasa iaitu pada April dan Mei 2020.Bagi fasa pertama, pembayaran BPN melalui pengkreditan ke akaun akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Isnin, 6 April hingga Rabu, 15 April.

BPN, bank, ATM, sesak

Artikel Lain