suria

"Anda jaga rumah, jaga komuniti sendiri... seperti Orang Asli” - Dr Noor Hisham tegaskan perintah kawalan dapat kurangkan kes Covid-19

Matlamat pelaksanaan PKP adalah untuk mengurangkan kes jangkitan Covid-19.

OBJEKTIF pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di tiga lokasi setakat ini bertujuan untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pengesanan kes Covid-19 dengan lebih baik.

Kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah lagi, ia sekaligus dapat mengurangkan peningkatan kes akibat wabak berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata kementerian juga sedang melihat kemungkinan untuk melaksanakan pemerkasaan (empowering) di sesebuah kawasan agar pengesanan kes Covid-19 dapat dilakukan lebih aktif.

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: Penduduk boleh minta bantuan pusat di kawasan masing-masing - “Kalau rindu nak makan daging, boleh suarakan”

"PKPD adalah untuk membantu KKM dalam pengesanan kes untuk kita turun padang. Tapi kita sedang melihat kemungkinan untuk memperkasakan komuniti.

"Sebagai contoh, ada jawatankuasa kondominium untuk menjaga kawasan tersebut.

"Sebagaimana kaum Orang Asli dan penduduk di rumah panjang misalnya, mereka sudah buat di kawasan mereka untuk pastikan kumpulan berisiko tinggi tidak masuk ke kawasan mereka," ujarnya dalam sidang media pada Isnin.

Dalam masa yang sama ujar Dr Noor Hisham, langkah pemerkasaan tersebut dapat melindungi keselamatan komuniti di sesebuah kawasan tersebut.

"Anda jaga rumah, anda jaga komuniti sendiri... kalau ada kes, kita akan kaji balik bagaimana kita boleh laksanakan PKP. Tapi penting sekali, PKP bantu kita kurangkan kes," ujarnya lagi.

Sehingga kini tiga kawasan telah diletakkan di bawah PKPD iaitu Simpang Renggam (Johor), Sungai Lui (Hulu Langat, Selangor) dan Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur.

PKP, PKPD, komuniti, KKM

Artikel Lain