suria

Didakwa gagal lindungi frontliner kesihatan, ini penjelasan Dr Noor Hisham

Kakitangan yang terlibat mendapat jangkitan Covid-19 di luar kawasan hospital dan ada sejarah perjalanan ke luar negara.

TUJUH puluh lima peratus daripada individu yang dijangkiti Covid-19 di negara ini merupakan penghidap penyakit kronik.

Individu-individu tersebut memiliki penyakit seperti diabetes, hipertensi, buah pinggang dan jantung sekaligus membawa simptom yang lebih teruk berbanding pesakit biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Pakistan antara 2 kematian direkod, kes positif Covid-19 kini cecah 4,119

"Kalau kita tengok data 65 kematian pada hari ini, 60 peratus kematian melibatkan pesakit berusia 60 tahun ke atas.

"Bagi kluster perhimpunan tabligh Sri Petaling, kematian ialah 30 peratus.

"Dari segi pesakit yang menghidap penyakit kronik diabetes, hipertensi, buah pinggang dan jantung, peratusannya sekitar 75 peratus," ujar Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam sidang media pada Rabu petang, Dr Noor Hisham turut mengulas dakwaan mengenai kegagalan KKM melindungi petugas barisan hadapan (frontliner) sehingga mereka dijangkiti virus itu.

Ujarnya, kakitangan yang terlibat mendapat jangkitan Covid-19 di luar kawasan hospital dan ada sejarah perjalanan ke luar negara.

"Isu berkenaan jangkitan melibatkan warga KKM, kalau kita lihat pada mulanya jangkitan kepada petugas barisan hadapan kesihatan berlaku di hospital swasta.

60 peratus kematian melibatkan pesakit berusia 60 tahun ke atas.

"Petugas barisan hadapan KKM yang dijangkiti ada 181 orang dengan dua kematian. Dan dua kematian ada sejarah perjalanan ke luar negara iaitu Turki dan juga Indonesia dan tak terlibat dengan jangkitan semasa bekerja.

"Daripada jumlah 181, 67 peratus (122 individu) dijangkiti di luar kawasan hospital seperti majlis kahwin dan sebagainya.

"Dan mereka datang hospital, ada yang menjangkiti rakan-rakan mereka dan sebagainya," ujarnya.

Tambah Dr Noor Hisham lagi, tiada petugas KKM yang mengamalkan langkah pencegahan dijangkiti virus itu sewaktu bertugas.

Malah, sehingga kini tiada petugas di wad Covid-19 dan Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mendapat jangkitan.

"Kita lihat keseluruhan ada 36 yang dijangkiti sewaktu berkhidmat di klinik atau ICU, tetapi mereka dijangkiti sebab apabila melaksanakan sesuatu prosedur, pesakit tersebut tidak memberitahu mereka ada hubung kait dengan kontak rapat.

"Jadi mereka tidak memakai pelindung atau PPE. Tetapi harus ditegaskan di sini, tidak ada seorang pun yang berkhidmat di wad Covid-19 atau ICU yang dijangkiti setakat ini.

"Bermaksud mereka mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan pemakaian PPE semasa melaksanakan tugas.

"20 peratus adalah di hospital bereti 80 peratus jangkitan bukan berkaitan dengan perkhidmatan yang diberikan di hospital," ujarnya lagi.

Artikel Lain