suria

PKP dilanjutkan? KKM perlu satu, dua hari lagi untuk analisa keseluruhan data - KP Kesihatan

PKP fasa kedua akan berakhir pada 14 April ini.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) masih memerlukan beberapa hari lagi untuk melengkapkan data sebelum memberi pandangan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) wajar dilanjutkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata apa jua pandangan pihaknya perlu berdasarkan kepada fakta dan penjelasan saintifik.

"Walaupun kita belum menang peperangan ini kita juga belum kalah tetapi yang penting kita perlu membuat pemantauan rapi dan mempunyai beberapa cadangan.

"Namun lebih penting KKM analisa berdasarkan fakta dan sains. Ia bukan mengenai pendapat saya tetapi berdasarkan fakta dan sains. Kami sedang menelitinya," kata beliau. 

Bagaimanapun beliau berkata tiada peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 di negara kita.

"Kami memantau peningkatan jumlah kes positif setiap hari di semua daerah dan negeri. 

"Seperti yang kita sedia maklum tiada peningkatan mendadak dilihat dalam kes kita," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sudah melihat laporan awal tetapi memerlukan satu atau dua hari lagi untuk menganalisis keseluruhan data.

"Dengan data di tangan, KKM akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet dan perdana menteri.

"Jadi terdapat keputusan dan beberapa pilihan sedia ada. Tapi keputusan terpulang kepada Kabinet dan perdana menteri," katanya.

Keputusan sama ada PKP akan dilanjutkan atau ditamatkan bakal diketahui dalam tempoh kira-kira 72 jam ini, di mana kerajaan dijangka membuat pengumuman pada Jumaat.

PKP sepatutnya berakhir pada 14 April ini selepas ia dilaksanakan sejak 18 Mac lalu bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pengumuman mengenainya pasti amat dinantikan rakyat di seluruh pelusuk tanah air.Jika diteliti, rakyat mengharapkan ia tidak dilanjutkan selepas memasuki hari ke-22 pelaksanaan PKP pada Rabu dan ingin kembali kepada kehidupan normal.

Artikel Lain