suria

Tiada bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan tahun ini - Annuar Musa

Tiada bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan pada tahun ini susulan wabak Covid-19.

TIADA bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan pada tahun ini, kata menterinya Tan Sri Annuar Musa.

Katanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), dan Perbadanan Labuan (PL) akan memulangkan bayaran lesen, cagaran dan caj perkhidmatan penjaja dan penganjur, yang telah diluluskan sebelum ini.

“Seramai 2,673 penjaja di 66 lokasi bazar Ramadan telah berdaftar dengan DBKL, 300 penjaja dengan PPj dan 215 penjaja di tiga lokasi PL.

“Berikutan itu, kami memperkenalkan tiga kaedah baharu untuk menjual makanan dan minuman sepanjang bulan Ramadan iaitu Pandu Lalu, Tempahan Awal, Bungkus dan Ambil, serta penghantaran ‘e-Hailing’,” katanya pada sidang media di Putrajaya, Rabu.

Annuar berkata bagi konsep pandu lalu, para penjaja akan disusun mengikut segmen dan semua makanan dijual secara siap bungkus sebelum diambil oleh pelanggan.

“Kedudukan kanopi adalah dalam satu barisan di tengah jalan empat lorong dengan jarak 20 meter antara satu sama lain, anggota penguatkuasa akan bertugas bagi melancarkan pergerakan trafik,” katanya yang menambah antara lokasi cadangan adalah di sepanjang Boulevard Presint 2, Putrajaya, dan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Katanya orang ramai boleh membuat tempahan awal dan bayaran menu makanan secara dalam talian, kemudian mengambil makanan di tempat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kami juga akan menetapkan tapak untuk dijadikan ‘dapur berpusat’ iaitu kira-kira 7 kilometer daripada kawasan perumahan, untuk ketiga-tiga konsep itu dari pukul 11 pagi hingga 6 petang,” katanya. 

Katanya pendaftaran penjaja untuk ketiga-tiga konsep di lokasi-lokasi diluluskan, akan mula dibuka bermula 13 April hingga 19 April ini.

“Buat masa ini, penjaja yang berdaftar untuk bazar Ramadan sebelum ini, boleh membuat pendaftaran dengan mematuhi syarat-syarat, dan satu insentif juga akan diperkenalkan bagi menggalakkan mereka mengikut konsep baharu itu,” katanya.

Annuar berkata sebarang majlis berbuka puasa atau acara keramaian, ketika bulan Ramadan pada tahun ini tidak dibenarkan.

“Sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat atau bersambung, kami berpendapat amalan jarak sosial dan garis panduan Kementerian Kesihatan, perlu diteruskan bagi memutuskan rantaiam wabak Covid-19.

“Namun, bagi mereka yang ingin menyumbang makanan kepada golongan memerlukan, mereka perlu memaklumkan dengan kami jumlah sumbangan dan alamat yang perlu diberi, dan kami akan membantu menghantar kepada golongan memerlukan,” katanya.

Sementara itu Annuar berkata, dalam usaha Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor Mansion dan Malayan Mansion, pihaknya akan bekerjasama dengan penjaja, untuk memasang khemah penjualan sementara bagi penghuni turun membeli makanan secara berkumpulan tetapi terkawal.

“Kita terpaksa kawal ketat kerana ketika PKPD, kita tidak boleh membenarkan mereka keluar bangunan, mereka akan dibawa contoh kumpulan 10 orang ke khemah jual barangan asas, dan balik semula dengan kawalan polis dan tentera.

“Hal ini kerana kita masih menjalankan ‘sampling’ kesihatan sebanyak mana boleh, di kedua-dua bangunan itu. 

“Kami juga bekerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi India, Pakistan dan Bangladesh, bagi mengawal lebih 5,000 warganya di negara ini, yang kebanyakannya menghuni di kawasan PKPD seperti di Menara City One, Malayan Mansion dan Selangor Mansion, contohnya membuat hebahan dalam pelbagai bahasa, supaya mereka mematuhi arahan sepanjang PKPD,” katanya. - BERNAMA

Artikel Lain