suria

“Dua minggu untuk gambaran lebih tepat” - Dr Noor Hisham komen kemungkinan kelonggaran PKP

KKM akan mengadakan mesyuarat pada petang ini, antara lainnya melihat mengenai kewajaran kelonggaran PKP.

SEKURANG-KURANGNYA tempoh selama dua minggu diperlukan untuk mendapat gambaran yang lebih jelas dan tepat mengenai status sesebuah kawasan, sama ada ia dikategorikan sebagai zon hijau, zon merah atau zon jingga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini telah melaksanakan kajian menggunakan kaedah kumulatif di setiap negeri, daerah dan mukim untuk mengenalpasti status zon di sesebuah kawasan.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP dilanjutkan? KKM perlu satu, dua hari lagi untuk analisa keseluruhan data - KP Kesihatan

"Kita kenalpasti kes-kes di tempat hijau, jingga atau merah. Selama ini kita guna kaedah kumulatif bererti dari kes pertama hingga sekarang, kita masukkan dalam negeri masing-masing.

"Kalau guna kaedah kumulatif, semua akan jadi merah dalam satu masa. Jadi apa yang kita laksanakan, kita ambil tempoh dua minggu.

"Kalau dua minggu tak ada kes, baru di kawasan tersebut iaitu negeri, daerah atau mukim, mungkin dapat satu gambaran lebih tepat sama ada kawasan itu hijau atau merah," katanya pada sidang media harian Covid-19, Khamis.

Dalam sidang media yang sama, menurut Dr Noor Hisham, persoalan sama ada kerajaan perlu memberi kelonggaran dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akan dibincangkan dalam mesyuarat antara KKM dengan beberapa agensi berkaitan termasuk ahli statistik, pada petang ini.

"Kalau kita lihat kepada ramalan JP Morgan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysian Institute Of Economic Researh mengatakan dalam tempoh seminggu lagi mungkin akan kes mendadak.

"Petang ini pukul 6 petang (Khamis) saya adakan satu mesyuarat. Kita melihat kembali kes kita, statistik yang ada, sama ada modeling kita menggunakan pelbagai kaedah untuk kita pastikan boleh atau tak kita beri satu gambaran dalam tempoh seminggu atau dua minggu.

"Dan kita akan beri nasihat kepada perdana menteri dan kabinet mengenai tindakan sewajarnya," ujarnya lagi.

Tambah Dr Noor Hisham, negara masih lagi belum selesai dalam perjuangan memerangi penularan Covid-19 berdasarkan graf yang direkodkan.

"Perjuangan kita belum selesai. Tapi kita belum menang, dan kita juga belum kalah. Kita kena mantapkan tindakan kesihatan awam, mantapkan perkhidmatan di hospital," ujarnya lagi.

KKM, mesyuarat, zon, merah, hijau

Artikel Lain