PESAKIT Covid-19 paling muda yang direkodkan di negara ini dan disahkan meninggal dunia pada pagi Khamis hanya datang ke hospital untuk mendapatkan rawatan setelah berada pada kategori keempat. Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media pada Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit wanita berusia 23 tahun antara 2 korban terkini Covid-19 "Hari ini kita ada pesakit paling muda berusia 23 tahun, dia terpaksa dipasangkan ventilator. Tetapi harus diingat pesakit ini ada penyakit tiroid. Dia datang lewat untuk mendapatkan rawatan. "Seperti yang saya kata, kebanyakan kes iaitu 88 peratus datang pada kategori satu dan dua. Tetapi pesakit ini datang ke hospital pada kategori empat. Jadi dia perlukan bantuan oksigen dan kemudian ventilator," katanya lagi. Mangsa tersebut merupakan seorang wanita yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan dua kes positif Covid-19 dan merupakan kes generasi ke-5 kluster persidangan gereja di Kuching, Sarawak. Mangsa telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 30 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 9 April 2020 (Khamis) pukul 9.42 pagi. Sementara itu tambah Dr Noor Hisham, pesakit Covid-19 yang jatuh dalam kategori empat dan lima kebiasaannya mempunyai masalah pernafasan. "88 peratus daripada pesakit yang datang positif, tapi tak ada gejala atau gejala ringan. Apa yang pasti kita tak dapat tentukan siapa antara mereka itu akan jadi lebih teruk, dan jatuh ke kategori 4 dan 5. "Dalam jangkitan Covid-19 ini ada dua peringkat. Peringkat pertama adalah jangkitan. "Peringkat kedua ialah peringkat radang atau inflamasi. Peringkat ini yang sebabkan saluran pernafasan tersumbat dan reaksi inflamasi berlaku. "Ini yang bahaya jika ada inflamasi di paru-paru, tak dapat bernafas kita perlu beri bantuan pernafasan kepada mereka," katanya lagi.