KEMUNCULAN satu poster pertandingan TikTok di laman sosial pada Rabu, ternyata mengejutkan ramai. Ia pantas menjadi perdebatan susulan pertandingan itu dianjurkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad. Menerusi hantaran tweet yang sudah dipadam, Noraini mengajak orang ramai berkongsi kreativiti masing-masing menggunakan aplikasi video itu. "Haa you guys, jangan merayau-rayau tau. Stay put, kita buat TikTok. Siapa yang paling kreatif, saya ada hadiah menarik untuk anda," ujarnya dalam satu video. Selain Noraini, dua selebriti media sosial atau influencer turut kelihatan dalam poster dan video promosi itu, iaitu Norreen dan Iskandar Rahman. Poster pertandingan ini bagaimanapun sudah dipadam dari laman sosial sebelum dikongsi semula oleh beberapa netizen. Pertandingan itu dipercayai dianjurkan bagi menggalakkan orang ramai khususnya golongan pelajar Insitusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menyerlahkan kreativiti mereka biarpun terpaksa berada di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung. Bagaimanapun, video dan tweet asal sudah dipadam, dipercayai setelah menerima kecaman ramai. Namun, segelintir netizen sempat memuat turun poster dan video berkenaan sebelum ia dikongsi semula di media sosial. Rata-rata netizen menyuarakan rasa kurang senang atas penganjuran pertandingan itu yang disifatkan tidak bersesuaian dengan Kementerian Pengajian Tinggi. Berdasarkan poster, pertandingan itu berlangung pada 8 sehingga 14 April 2020.