suria

Suhaimi Sulaiman mampu bawa idea segar untuk transformasi Bernama dalam era digital

Suhaimi dilantik sebagai pengerusi baharu Bernama manakala Rozaid (kanan) antara empat ahli lembaga pengelola agensi berita itu yang baharu.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nurini Kassim menyambut baik pelantikan Suhaimi Sulaiman sebagai pengerusi baharu agensi berita itu dan melahirkan keyakinan bahawa beliau mampu memberi panduan strategik untuk membantu transformasi Bernama serta usahanya untuk kekal relevan dalam era digital ini. 

“Sepanjang perjalanan kita mentransformasikan Bernama kepada bilik berita yang bersepadu dan digital, saya yakin bahawa Suhaimi dengan peranan baharunya sebagai Pengerusi akan dapat memberi panduan kepada Pihak Lembaga Pengelola, pengurusan dan bahkan keseluruhan Bernama, dengan idea segar untuk membantu transformasi kita agar Bernama kekal relevan dalam era digital ini,” menurutnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Nurini berkata Suhaimi bukanlah orang asing kepada Bernama kerana selain merupakan personaliti TV terkenal, beliau telah membantu menjadikan Bernama Radio sebagai sebuah stesen radio perniagaan berbahasa Melayu yang menyasarkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perniagaan kecisejak September tahun lepas. 

“Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam memperbaiki Bernama TV dengan wajah baharu dan penyusunan semula program rancangan yang selaras dengan berita dan hal ehwal semasa, yang menggariskan mandat Bernama.

“Selain daripada pengalamannya yang luas dalam bidang media, penyiaran dan komunikasi, Suhaimi berpengalaman luas dalam bidang korporat semasa beliau memegang jawatan di Bank of Commerce, TV3 dan yang terkini menyandang jawatan sebagai CEO Astro Awani,” katanya.

Pelantikan Suhaimi sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Bernama bagi tempoh setahun, yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2020, telah diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah pada Rabu.

Beliau menggantikan personaliti media Datuk Seri Azman Ujang yang tempoh jawatannya sebagai Pengerusi Bernama berakhir pada 31 Januari 2020.

Menerusi kenyataan itu, Nurini turut menzahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Azman atas sumbangan dan bimbingan beliau selama empat tahun sebagai Pengerusi Bernama.

“Datuk Seri telah berkhidmat di Bernama dengan penuh komitmen, dedikasi dan semangat yang tinggi selama lebih 36 tahun, telah mula bekerja sebagai wartawan pada usia 20 tahun - kami amat bersyukur atas kesetiaan dan khidmat profesional beliau terhadap Bernama,” katanya.

Bernama turut memperkenalkan empat ahli lembaga pengelolanya yang baharu iaitu Datuk Amran Mohamed Zain yang berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala), Kementerian Luar Negeri; Yahati Awang, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Penyiaran Strategik), Jabatan Penyiaran Malaysia; Roselinda Abdul Rahman, Ketua Pengarah Penerangan Malaysia dan Rozaid Abdul Rahman, Pegawai Eksekutif Kandungan Kumpulan Star Media Berhad.

Rozaid menyertai Kumpulan Star Media pada 2008 selaku editor bersekutu sebelum dilantik sebagai editor eksekutif pada 2014 dan pegawai eksekutif kandungan kumpulan media itu pada 2018.

Artikel Lain