KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mampu membendung penularan Covid-19 ke tahap yang lebih stabil. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya juga menyambut baik keputusan itu yang diumumkan perdana menteri pada Jumaat petang. ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 118 kes baharu, KKM umum tiga lagi korban Covid-19 "KKM menyambut baik pelanjutan dua minggu PKP seperti yang diumumkan oleh perdana menteri. "Berdasarkan situasi terkini, didapati pelaksanaan PKP dapat membantu KKM dalam membendung penularan penyakit ini kepada satu tahap yang sedikit stabil. "Ini dapat diperhatikan daripada trend kes Covid-19 dan trajektori yang diunjurkan melalui kajian yang telah dijalankan KKM," ujarnya menerusi sidang media. Kata Dr Noor Hisham lagi, langkah itu memberi ruang kepada kerajaan untuk memerangi wabak itu sebelum menilai semula tahap keberkesanan serta keadaan semasa jangkitan. "Namun begitu, ianya masih di peringkat pertengahan dan masih memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan. Dr Noor Hisham Abdullah. "Malah ianya perlu dipesatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan ini melalui peningkatan aktiviti sedia ada serta beberapa pendekatan baharu dan khusus kepada kumpulan sasar tertentu," katanya. Jelas Dr Noor Hisham, keputusan itu juga selaras dengan pandangan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus. Kata Dr Tedros, PKP dapat memberi peluang kepada sesebuah negara untuk mengharungi jangkitan Covid-19. Tegasnya lagi, tindakan untuk menamatkan perintah itu dengan terlalu awal boleh mengakibatkan penularan semula Covid-19 di sesebuah negara. Dalam sidang media sama, Dr Noor Hisham berkata pihaknya menerima pandangan pakar perubatan awam agar melanjutkan tempoh inkubasi selama 14 hari kepada tiga kitaran bagi memutuskan rangkaian jangkitan wabak itu. "Mungkin kita perlu pertimbangkan tiga kitaran inkubasi. "Maknanya, tempoh inkubasi 14 hari, jadi kita perlukan sekitar enam minggu," jelasnya.