suria

“Anda manusia hebat” – Rakyat Malaysia dipuji... frontliners, abang rider, penderma semuanya PM ucap terima kasih

Muhyiddin Yassin memuji rakyat Malaysia yang banyak memberikan kerjasama dan menyumbang bakti kepada negara sepanjang tempoh PKP.

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memuji rakyat Malaysia kerana tahap pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak ia dilaksanakan di seluruh negara pada 18 Mac lalu adalah tinggi.

Beliau berkata, menurut unjuran yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), PKP yang dilaksanakan dalam tempoh hampir sebulan yang lalu sedikit-sebanyak mengurangkan kebolehjangkitan dan penularan Covid-19.

"Saya bertuah kerana anda semua adalah insan yang berdisiplin dan patuh kepada undang-undang. 

ARTIKEL BERKAITAN: PKP masuk fasa ke-3, tambah 2 minggu lagi hingga 28 April

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia perlu sedia hadapi kebiasaan baharu - “Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh buat lagi”

"Tahap pematuhan PKP di negara kita adalah tinggi dan ini menunjukkan saudara-saudari semua faham akan kepentingan menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

"Teruskanlah sikap yang terpuji ini. Teruslah berusaha, berdoa dan bertawakal. InsyaAllah kita akan berjaya mengharungi ujian ini bersama-sama. Kepada Allah jualah kita berserah," katanya dalam perutusan khas, petang Jumaat.

Beliau turut mengumumkan bahawa tempoh PKP dilanjutkan, memasuki fasa ketiga bermula 15 April hingga 28 April ini.

Muhyididn berkata, kes-kes positif Covid-19 adalah terkawal pada kadar tujuh peratus, iaitu di bawah penanda aras 10 peratus yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

Selain itu, kadar kematian akibat wabak itu juga adalah rendah, iaitu 1.6 peratus berbanding 5.8 peratus kadar kematian di peringkat dunia.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memberi penghargaan kepada beberapa kumpulan yang banyak menyumbang bakti kepada rakyat dan negara ini sejak penularan Covid-19, terutama sejak PKP dikuatkuasakan.

1. Saya nak menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan saya kepada anda semua sebagai rakyat Malaysia. Anda adalah manusia yang hebat.

2. Doktor dan jururawat yang berada di barisan hadapan, anda mengambil risiko setiap kali melangkah masuk ke wad. Tetapi anda terus melangkah dengan gagah untuk menyelamatkan nyawa orang lain. Walaupun letih, anda tidak mengeluh tetapi terus berkhidmat dengan cekal. Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan.

3. Terima kasih juga saya ucapkan kepada doktor dan jururawat di hospital swasta. Ketika hospital kerajaan sibuk merawat pesakit Covid-19, hospital swasta menerima pesakit-pesakit bukan Covid-19 untuk dirawat.

4. Terima kasih juga kepada anggota polis dan tentera yang menjaga sekatan jalan raya. Anda berpanas, berhujan, tetapi terus menjalankan tugas. Syabas saya ucapkan. 

5. Juga kepada anggota Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba, Rela, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang turut membantu. Saya ucapkan terima kasih.

6. Terima kasih juga kepada insan-insan yang bermurah hati membungkus makanan untuk dihantar kepada para petugas di barisan hadapan. Mereka buat secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Anda adalah insan yang hebat.

7. Begitu juga kepada anda yang bekerja menghantar makanan. Samada GrabFood, Foodpanda atau lain-lain. Anda mengambil risiko. Orang lain duduk di rumah, anda keluar rumah untuk pastikan orang lain boleh makan. Anda melakukan satu pekerjaan yang mulia. Pesan saya, jaga kesihatan, jaga keselamatan, jangan bawa motor laju-laju. Anda juga insan yang hebat.

Artikel Lain