KERAJAAN memutuskan untuk menangguhkan sesi persekolahan buat sementara sehingga keadaan benar-benar kembali pulih, demikian kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Beliau yang menyampaikan perutusan khas secara langsung di kaca televisyen pada Jumaat, kata perdana menteri, sepanjang tempoh tersebut, pelajar perlu belajar dari rumah. ARTIKEL BERKAITAN: PKP masuk fasa ke-3, tambah 2 minggu lagi hingga 28 April "Saya juga baca komen-komen ibu-bapa di Facebook. Ramai yang mahu penutupan sekolah dilanjutkan lagi. Ibu-bapa rata-rata bimbang tentang keselamatan anak-anak. "Saya pun ada cucu yang bersekolah. Seperti saudara-saudari saya pun bimbang juga. Semua orang sayangkan anak. Cucu lebih lagilah sayangnya. "Jadi, sekolah mungkin tidak akan dibuka lebih awal. Kita mungkin akan tangguhkan dahulu sesi persekolahan sehinggakan kita benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih. "Sementara itu, anak-anak kita perlu belajar di rumah," katanya. Untuk tujuan itu, Muhyiddin berkata Kementerian Pendidikan akan melaksanakan inisiatif tersebut berdasarkan garis panduan home based learning. Sepanjang tempoh penangguhan itu, pelajar perlu belajar dari rumah. "Saya telah minta Kementerian Pendidikan supaya melaksanakan inisiatif pembelajaran dari rumah atau home based learning sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini, dan mungkin untuk tempoh yang seterusnya sehinggalah sekolah dibuka," ujarnya lagi. Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan akan dilanjutkan untuk tempoh 14 hari lagi sehingga 28 April. Dalam sidang media yang sama, Muhyiddin berkata pihak berkuasa akan terus memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara untuk mengelakkan penularan wabak yang mungkin dibawa oleh pendatang asing yang bolos. Kawalan akan diperketatkan di sempadan untuk mengelakkan pendatang asing bolos menerusi lubang tikus. "Saya nak beritahu, di sepanjang sempadan negara kita ini banyak terdapat lorong-lorong tikus. Pendatang asing tanpa izin biasanya bolos menerusi lorong-lorong ini. "Jika kita tidak tingkatkan kawalan, mereka mungkin bolos dan membawa virus masuk ke negara kita. Na’uzubillah. "Jadi, saya telah arahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Imigresen, Rela dan lain-lain agensi yang berkaitan supaya perketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara," katanya lagi.