suria

Elak wujud kluster baharu Covid-19, rakyat dan pelajar Malaysia dinasihat kekal di lokasi masing-masing

Rakyat dan pelajar dari luar negara dinasihatkan untuk berada di lokasi masing-masing sehingga keadaan kembali pulih.

RAKYAT Malaysia termasuk pelajar yang terkandas di luar negara serta di kolej tempatan dinasihatkan untuk terus berada di lokasi masing-masing sehingga pandemik Covid-19 pulih seperti sedia kala.

Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini secara tidak langsung dapat mengelakkan wujudnya kluster baharu ekoran pergerakan secara besar-besaran.

Beliau menambah, pelajar tempatan yang kini berada di institusi pengajian tinggi masing-masing juga diminta untuk terus berada di universiti atau kolej sebagaimana yang telah diputuskan oleh kerajaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak boleh! Operasi kedai gunting rambut, cermin mata dan bazar tidak dibenarkan sepanjang PKP

ARTIKEL BERKAITAN: 11 hari PKP, kerajaan tanggung kos makan lebih 74,500 pelajar IPT

"Seperti biasa saya nasihatkan kalau boleh tinggal di negara tersebut sehingga keadaan pulih seperti biasa. Pelajar-pelajar di universiti atau institut pengajian tinggi swasta diminta terus kekal di universiti masing-masing.

"Insya-Allah kebajikan mereka, makan minum mereka, akan terus ditanggung kerajaan. Semua keputusan ini berdasarkan usaha kita untuk putuskan rantaian dan membendung penularan Covid-19 berjaya.

"Kita tak mahu berlaku pergerakan besar-besaran di mana ia akan menyukarkan pemantauan polis. Jika dibenarkan, mungkin jadi kluster baharu Covid-19.

"Saya harap rakyat dan pelajar faham tindakan ini kerana ini untuk menjaga mereka, keluarga mereka dan masyarakat sekeliling bila pulang ke kampung," katanya  dalam sidang media harian Covid-19 pada Isnin.

Ismail berkata, rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara diminta supaya menghubungi Wisma Putra yang akan sentiasa memastikan kebajikan mereka diberikan keutamaan.

Bagaimanapun menteri itu berkata, jika mereka ingin pulang ke tanah air, kos penerbangan perlu dibiayai sendiri.

"Sekiranya pihak kerajaan di negara mereka berada memberi kebenaran untuk membawa pulang rakyat Malaysia, kos perlu ditanggung individu berkaitan dan penerbangan khas pulang akan diuruskan Kementerian Pengangkutan," katanya.

Ismail turut menjelaskan, urusan membawa pulang rakyat Malaysia juga tertakluk kepada undang-undang yang dikuatkusakan sesebuah negara memandangkan kini ada yang telah mengenakan sekatan penerbangan.

"Ini kerana terdapat negara-negara menguatkuasakan sekatan perjalanan mereka sendiri iaitu membatalkan semua penerbangan untuk mengekang pandemik Covid-19 di negara mereka.

"Bagaimanapun Kementerian Luar akan menghubungi negara berkaitan supaya pelepasan dilakukan dan membenarkan rakyat kita pulang," ujarnya lagi. 

luar negara, pelajar, terkandas, Covid-19

Artikel Lain