suria

Sokongan emosi ketika PKP antara soalan popular diterima Talian Psikososial Covid-19

Talian Psikososial Covid-19 sering mendapat panggilan dan mesej menerusi WhatsApp.

PERTANYAAN mengenai keperluan bantuan dan sumbangan antara yang kerap diterima menerusi Talian Psikososial Covid-19 yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 28 Mac lalu.

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, dua pertanyaan popular talian berkenaan mengenai sokongan emosi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan maklumat lanjut mengenai Covid-19.

Sejak ia diperkenalkan Dr Noor Hisham, pihaknya telah menerima 2,739 panggilan telefon sehingga 4.30 petang Isnin manakala 1,252 mesej di WhatsApp.

"Talian ini diperkenalkan bagi memberi sokongan emosi, kaunseling dan psikologi terutamanya ketika masyarakat perlu menghadapi PKP yang akan memasuki fasa ketiga.

"Selain itu, pihak KKM banyak menerima pertanyaan mengenai keperluan bantuan dan sumbangan serta yang bertanya tentang maklumat lanjut mengenai Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, bercakap mengenai dakwaan KKM kekurangan kelengkapan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas hospital, Dr Noor Hisham memberitahu pihaknya kini masih mempunyai stok untuk kegunaan selama dua minggu.

Jelasnya, penggunaan PPE meningkat dari dua ke 10 kali ganda berbanding keadaan normal namun pihaknya mendapat tiga perolehan bagi memastikan stok sentiasa mencukupi.

"Sekarang KKM mempunyai sistem untuk memeriksa stok PPE di setiap negeri dan kami mempunyai tiga perolehan dalam memastikan PPE mencukupi.

"Ini termasuk perolehan secara pukal untuk semua negeri dan pusat, perolehan di peringat negeri serta derma daripada badan bukan kerajaan (NGO).

"Jika NGO mahu terus menyumbang kita sangat mengalu-alukan memandangkan peningkatan penggunaan PPE ketika ini sangat tinggi berbanding keadaan normal," jelasnya.















Artikel Lain