suria

Remaja 17 tahun direman 4 hari selepas tinggal mayat kekasih di garaj

Seorang remaja lelaki yang panik bertindak meninggalkan mayat kekasihnya di garaj rumah keluarga mangsa di Felda Keratong 10, Rompin, selepas mereka terlibat dalam kemalangan. Foto Bernama

PELAJAR tingkatan lima yang menghantar dan meletakkan mayat kekasihnya di garaj rumah keluarga perempuan itu di Felda Keratong 10, Rompin pada Ahad, direman selama empat hari, mulai Isnin.  

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azari Miskon berkata, remaja berusia 17 tahun itu direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 selain lesen boleh digantung dan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tiga tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.  

ARTIKEL BERKAITAN: Tinggal mayat kekasih di garaj gara-gara panik

Selain itu, suspek yang beralamat di Felda Keratong 5 juga disiasat mengikut Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan.

"Bedah siasat di Hospital Muadzam Shah ke atas mayat mangsa berusia 17 tahun itu juga mengesahkan punca kematian adalah disebabkan cedera parah di kepala akibat kemalangan jalan raya. 

"Mangsa dipercayai meninggal dunia semasa dalam perjalanan dari lokasi kejadian ke garaj tempat mayatnya ditinggalkan," katanya kepada pemberita menerusi kenyataan media di Kuantan, Isnin.

Pada Ahad, media melaporkan penemuan mayat seorang remaja perempuan di garaj kenderaan yang dipercayai ditinggalkan oleh teman lelakinya selepas mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya, kira-kira 15 kilometer dari rumah mangsa. 

Kemalangan berhampiran kilang sawit Felda Keratong 3 sekitar 3.30 pagi Ahad dipercayai berlaku selepas motosikal ditunggangi mereka untuk bersiar-siar terlanggar kerbau yang berada di tengah jalan. 

Siasatan awal polis mendapati remaja lelaki itu berbuat demikian kerana panik selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri akibat kemalangan itu, dan membuat keputusan tidak mengejutkan keluarga kekasihnya kerana bimbang akan dimarahi. - Bernama

mayat, kekasih

Artikel Lain