suria

“Rakyat seolah-olah tak takut undang-undang” - Tiada lagi kompaun, individu ingkar PKP akan terus dihadapkan ke mahkamah

Mulai esok (Rabu), individu ingkar PKP yang ditahan akan direman dan dihadapkan ke mahkamah.

MANA-MANA individu yang ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan terus dihadapkan ke mahkamah.

Tindakan tegas itu akan berkuatkuasa mulai esok (Rabu), kata Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

ARTIKEL BERKAITAN: Individu ingkar PKP dikompaun RM1,000 bermula hari ini

"Esok (Rabu) PKP fasa ketiga akan dilaksanakan. Saya percaya jangkaan rakyat kepada tindakan polis adalah keras dan tegas.

"Rakyat seolah-olah tidak takut kepada undang-undang kita hari ni. Mungkin kompuan RM1,000 tak dianggap begitu tinggi untuk takutkan mereka yangg ingkar PKP.

"Oleh itu polis mulai esok tidak lagi memberi tumpuan kepada kompaun. Mulai esok, individu yang ditahan akan direman dan dihadapkan ke mahkamah. Biarlah mahkamah yang memutuskannya," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Menurut Ismail, individu yang berkenaan akan didakwa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau lebih dikenali sebagai Akta 342.

"Di bawah peruntukan ini, mahkamah boleh menghukum mereka tidak lebih dari dua tahun penjara, dan kesalahan seterusnya 5 tahun penjara.

"Kita tidak lagi offer kompaun yang boleh dibayar dalam tempoh dua minggu. Mereka mungkin menganggapnya seperti dapat saman kereta dan tak bayar sampai bila-bila.

"Tapi kali ini berbeza. Yang tak takut kompaun, esok kita akan ambil tindakan lebih keras. Diharapkan mulai esok, keadaan (bilangan orang keluar) akan reda dan rakyat mematuhi arahan kerajaan," katanya lagi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula Rabu minggu lalu mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap individu yang mengingkari PKP.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata mereka yang dikenakan kompauan perlu membuat pembayaran di Pejabat Kementerian Kesihatan dalam tempoh dua minggu dari tarikh ia dikeluarkan.


kompaun, mahkamah, Covid-19, ingkar

Artikel Lain