suria

“Gerai drive-thru, tempah dan ambil tidak dibenarkan” - Ismail Sabri

Sebelum ini, wujud tanda tanya mengenai penganjuran bazar Ramadan yang menjadi tradisi setiap tahun.

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga yang akan berlanjutan sehinggan bulan Ramadan menyaksikan timbulnya saranan agar e-Bazar Ramadan diwujudkan.

Namun kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan telah memutuskan sebarang bentuk perniagaan menggunakan konsep itu adalah tidak dibenarkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Idea mana ganti bazar Ramadan... e-bazar, online bazar, bazar drive-thru? - “Yang pasti kena elak perhimpunan...”

"Mesyuarat hari ini telah pun memutuskan bahawa sebarang bentuk perniagaan yang berkaitan dengan bazar dan gerai Ramadan termasuk di dalam bentuk pandu lalu (drive-thru) dan tempah dan ambil (pack and pick) adalah tidak dibenarkan.

"Jadi tidak ada isu lagi yang berkaitan dengan bazar Ramadan ataupun e-iftar walaupun tidak dibuka seperti biasa... tidak dibenarkan," ujarnya.

Tambah Ismail, biarpun wujud perkhidmatan e-hailing untuk menjadi penghantar makanan, pengajuran e-bazar tetap tidak dibenarkan.

Bagaimanapun, perkhidmatan penghantaran sedia ada sebagaimana dibenarkan dalam fasa satu dan dua PKP masih boleh diteruskan.

"Apa sahaja yang berbentuk bazar, walaupun ada e-hailing, kalau kita wujudkan bazar misalnya, 50 bazar sekelompok dan e-hailing datang untuk mengambil di bazar tersebut selepas melakukan pesanan.

"Ianya tidak boleh dilakukan sebab seperti yang kita sebut tadi. Bazar tidak dibenarkan. Gerai-gerai seperti itu tidak dibenarkan.

"Tetapi perniagaan e-hailing biasa, yang sekarang pun dah dilaksanakan, hantar ke rumah dan sebagainya, perkara itu diteruskan seperti biasa," katanya.

Sebelum ini, wujud tanda tanya mengenai penganjuran bazar Ramadan yang menjadi tradisi setiap tahun, memandangkan tempoh PKP fasa ketiga berlanjutan sehingga 28 April ini.

Umat Islam dijangka mula berpuasa sebulan bermula 24 April ini.

e-bazar, bazar Ramadan, PKP

Artikel Lain