suria

Anak ‘pening’ nak jahit PPE, ibu jadi penyelamat... akhirnya mampu beri sumbangan siapkan ‘baju perang’ frontliners

Siti Munirah menggunakan kebolehan menjahitnya untuk menghasilkan PPE yang akan disumbangkan kepada frontliner.

MEMILIKI kemahiran menjahit sejak berusia 12 tahun mendorong gadis berusia 21 tahun ini untuk menyumbang sesuatu kepada barisan hadapan yang bertungkus-lumus ‘berperang’ dengan Covid-19.

Bagi Siti Munirah Nasaruddin, dia menggunakan kemahiran menjahit yang diajar ibunya semasa kecil untuk menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) yang kini menjadi keperluan penting bagi barisan hadapan.

Penuntut program Bioteknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata dia menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan universiti untuk menjahit PPE bagi disumbangkan kepada hospital yang memerlukan selepas terlihat iklan mengenainya.

ARTIKEL BERKAITAN: Terkesan lihat petugas hospital guna plastik lindungi diri, Radzuan Radziwill jahit sendiri PPE

“Saya terbaca iklan Pusat Keusahawanan Universiti sedang mencari sukarelawan untuk menjahit PPE bagi disumbangkan kepada frontliner dan di sosial media pula dikongsikan kisah barisan hadapan kita menghadapi kekurangan PPE.

“Kebetulan saya tinggal di Pajam yang tidak berapa jauh dari Nilai, jadi saya tidak teragak-agak untuk bersama-sama menjayakan usaha murni universiti ini, ditambah pula keluarga juga menyokong niat saya.

KKM amat memerlukan sut PPE untuk kegunaan frontliner semasa merawat pesakit Covid-19.

“Sebelum terlibat dengan projek PPE, agak banyak masa terluang semasa berada di rumah yang kadang-kala diisi dengan pengkuliahan secara online, menyiapkan assignment, menyelesaikan soalan kuiz daripada pensyarah dan membantu mengemas rumah,” katanya.

Siti Munirah merupakan antara 30 sukarelawan Usim yang berada di kampus untuk menyiapkan kira-kira 3,000 unit PPE.

Sejak minggu lalu, Siti Munirah memulakan rutin baharunya dengan berada di Pusat Inkubator di bawah Pusat Keusahawanan Universiti dari pukul 9 pagi hingga 5 petang untuk menjahit PPE.

Di peringkat awal menjahit PPE saya mengadu kepada ibu agak pening (susah) untuk menjahit PPE, sebab ibu biasa menjahit jadi dia boleh faham punca kepada masalah yang saya hadapi. 

SITI MUNIRAH NASARUDDIN.

Penuntut Usim.

Mengenai bakat menjahitnya, Siti Munirah berkata dia sering melihat dan membantu ibunya, Fatimah Mohamed yang juga seorang suri rumah menjahit semasa di rumah.

Pada awalnya dia sering mengadu kepada ibunya kerana berdepan kesukaran untuk menjahit PPE kerana berbeza dengan pakaian biasa dan mesin jahit yang ada di universitinya adalah spesifikasi industri.

Siti Munirah berasa gembira kerana dapat menyumbang sesuatu kepada negara.

“Di peringkat awal menjahit PPE saya mengadu kepada ibu agak pening (susah) untuk menjahit PPE, sebab ibu biasa menjahit jadi dia boleh faham punca kepada masalah yang saya hadapi. 

“Salah-satunya kerana PPE ini tidak seperti pakaian biasa dan mesin jahit yang ada di Usim adalah spesifikasi industri. Jadi ibu terus tunjukkan apa yang saya patut lakukan dan perbetulkan.

“Melalui bimbingan ibu, saya makin selesa dan cekap menyelesaikan tugasan jahitan PPE setiap hari,” katanya.

Menurut Siti Munirah, setiap sukarelawan Usim yang terdiri daripada pelajar, kakitangan dan alumni universiti mempunyai tugasan tersendiri seperti memotong kain mengikut ukuran dan menjahit mengikut bahagian-bahagian tertentu.

“Saya berbangga kerana PPE yang saya dan sukarelawan hasilkan akan disarung oleh frontiners untuk melawan Covid-19.

Petugas frontliner bekerja tanpa henti untuk memerangi wabak Covid-19 di negara kita.

“Saya juga gembira kerana dapat memanfaatkan kemahiran jahitan saya untuk disumbangkan kepada negara,” katanya.

Buat masa ini, Pusat Inkubator Jahitan sedang bertungkus-lumus menyiapkan 3,000 unit PPE yang terdiri daripada gaun, head cover dan boot untuk disumbangkan kepada beberapa hospital dan klinik kesihatan yang memerlukan.

Antaranya, Hospital Ampang; Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Temerloh), Hospital Port Dickson dan Hospital Tuanku Jaafar (Seremban).

Terdahulu Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengalu-alukan PPE sumbangan orang ramai kerana penggunaan peralatan itu ketika ini meningkat antara dua hingga 10 kali ganda berbanding biasa.

“Stok setakat ini sekurang-kurangnya bertahan selama dua minggu. Sekiranya ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) nak derma, dermalah kepada kita,” katanya.

Artikel Lain