suria

“Kita nasihat, perdana menteri buat keputusan” - Cukup rendah diri, Dr Noor Hisham anggap pengiktirafan doktor terbaik bukan untuk dirinya, tapi negara

Dr Noor Hisham adalah antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang koronavirus, selain pakar penyakit berjangkit AS, Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield. -foto Bernama

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menganggap pengiktifaran sebagai salah seorang doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN) berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis Covid-19 bukan untuk dirinya tapi untuk negara.

“Saya rasa pengiktirafan itu bukan untuk saya tapi negara kita,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya petang Khamis.

Menurut laporan CGTN, Dr Noor Hisham adalah antara tiga doktor terulung peringkat global dalam perang menentang koronavirus, selain pakar penyakit berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Noor Hisham Abdullah... Figura yang jadi sebutan kini, fakta ke-10 pasti kebanggaan diri dan keluarganya!

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Dr Noor Hisham dinobat antara 3 doktor terbaik dunia komited melawan Covid-19

Bagi Dr Noor Hisham, buat masa ini apa yang menjadi keutamaan adalah Kementerian Kesihatan (KKM) bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Kita beri nasihat dan yang pastinya yang buat keputusan bukan saya tapi perdana menteri. Contoh kalau lihat MCO (Perintah Kawalan Pergerakan) perdana menteri yang melaksanakan… kita menasihati tapi buat keputusan dan tindakan ialah perdana menteri.

“Tapi kita harus bersyukur dan saya juga ambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua kementerian dan menteri-menteri yang  bekerjasama untuk laksanakan MCO,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya petang Khamis.

Jelas beliau, KKM meneliti empat tindakan dalam memerangi jangkitan berbahaya itu.

“Pertama kawalan sempadan iaitu kita berterima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, pihak Imigresen untuk melaksanakan kawalan sempadan.

“Lepas tu kawalan pergerakan. Polis mengambil tugas untuk memastikan orang ramai patuh kepada perintah itu.

“Kita juga berterima kasih kepada barisan hadapan sama ada dari pihak kesihatan, polis dan mereka yang tampil ke ke hadapan untuk melaksanakan. Jadi saya rasa pengiktirafan itu bukan untuk saya tapi untuk negara,” katanya.

Dr Noor Hisham dan dua yang lain dipuji kerana sejak beberapa minggu lalu, mengetengahkan penampilan yang ‘tenang, jelas dan meyakinkan’ bagi menyalurkan maklumat serta fakta kepada orang ramai mengenai pendemik ini.

Menurut CGTN, mereka bukan menteri Kabinet, namun berjaya muncul sebagai ‘wajah’ negara masing-masing dalam memerangi wabak Covid-19, malah ada yang menggelar mereka ‘pujaan hati, rock star dan hero negara’ di media.

Dr Noor Hisham, 57, memegang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013, dan dianggap ‘wajah yang memberi keyakinan’ oleh rakyat Malaysia kerana memberikan maklumat terkini mengenai Covid-19 di media sosial, berlandaskan rumusan berasaskan fakta dan statistik.

Artikel Lain