suria

Kenduri kahwin di Ipoh, berkumpul di pantri hospital punca kluster baharu jangkiti 14 petugas perubatan di Likas

Seramai 14 petugas perubatan di sebuah hospital di Likas, Sabah kini dijangkiti Covid-19.

KLUSTER wabak Covid-19 terkini dikenal pasti di wad Melor Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, Sabah melibatkan 14 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil siasatan setakat ini mendapati kemungkinan punca jangkitan tersebut berasal dari majlis perkahwinan yang berlangsung di Ipoh, Perak.

Tambah beliau lagi, selain itu, jangkitan juga melibatkan petugas barisan hadapan yang berkumpul di 'pantri' wad tersebut.

Katanya, setakat ini, seramai 14 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada jururawat dan doktor disahkan positif Covid-19.

"Kes pertama dilaporkan 27 Mac 2020 dan siasatan kita mendapati mungkin punca jangkitan itu berasal daripada komuniti majlis perkahwinan di Ipoh dan kemudian salah seorang yang hadir balik ke hospital tersebut di Likas dan mereka menjangkiti rakan mereka (di hospital).

"Siasatan kita juga mendapati punca jangkitan bukan di wad, tetapi ruang sempit seperti di pantri. Ramai pekerja atau jururawat dan doktor berkumpul di pantri dan mungkin mereka sedang makan dan sebagainya, dan mungkin ada kesan jangkitan di sana (pantri)," katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Berikutan itu, katanya KKM telah mengambil langkah proaktif dengan melakukan pengesanan kes dan pengasingan termasuk mengarahkan mereka yang berkontak rapat dikuarantin.

Terdahulu,Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi memaklumkan siasatan awal mendapati punca jangkitan kes di wad tersebut adalah dari luar hospital dan kemudiannya menjangkiti beberapa kontak pekerja.

Malah tegas beliau, siasatan juga mendapati tiada berlaku jangkitan silang kepada pesakit kerana semua anggota kesihatan menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) semasa bertugas.


kluster, Likas, Dr Noor Hisham, Melor, Covid-19

Artikel Lain