suria

PKP: Tak patuhi arahan bersurai, 27 ditahan hadiri majlis pengebumian di Klang

Seramai 26 pemuda dan bapa kepada si mati ditahan kerana mengingkari arahan pihak polis yang meminta para tetamu bersurai pada satu majlis pengebumian. Gambar sekadar hiasan.

TANGKAPAN dilakukan terhadap 27 individu yang menghadiri sebuah majlis pengebumian di Kapar, Klang selepas mereka mengingkari arahan pihak polis yang meminta para tetamu bersurai.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Nurulhuda Mohd Salleh dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pengebumian tersebut berlangsung pada Khamis di mana sepasukan polis kemudian dihantar ke lokasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Inspektor polis disyaki culik sebelum rogol dua wanita semasa sekatan PKP ditahan

ARTIKEL BERKAITAN: “Rakyat seolah-olah tak takut undang-undang” - Tiada lagi kompaun, individu ingkar PKP akan terus dihadapkan ke mahkamah

"Pengebumian itu dilakukan oleh sebuah keluarga di Taman Intan, Kapar, dan melibatkan sekitar 50 orang. Ketika polis tiba, peringatan diberikan untuk bersurai, tetapi masih ada yang ingkar.

"Polis bertindak berdasarkan ketidakpatuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan 26 pemuda ditangkap. Bapa kepada si mati juga ditangkap selepas proses pengebumian kerana menganjurkan upacara dengan unsur gangsterisme," katanya.

Kesemua yang ditahan adalah pemuda yang berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun, manakala bapa kepada si mati berusia 40-an.

"Kesemua pemuda itu direman selama empat hari, sementara si bapa akan direman pada Sabtu (18 April)," katanya.

Menurut Nurulhuda, ia adalah majlis pengebumian seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

"Dipercayai bahawa kumpulan yang hadir adalah rakan-rakan si mati.

"Kami sekali lagi mengingatkan semua untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Untuk pengebumian, hanya saudara terdekat yang dibenarkan hadir," katanya. - THE STAR

pengebumian, PKP, ingkar

Artikel Lain