POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menambah sekatan jalan raya di seluruh negara, menjelang Ramadan yang bakal tiba minggu depan. Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kerajaan berhubung pergerakan antara negeri masih kekal iaitu ia tidak dibenarkan kecuali mendapat surat kebenaran daripada PDRM. “Kita jangka mungkin ada ura-ura untuk pulang ke kampung menyambut puasa dan sebagainya, pihak polis akan menambah sekatan jalan raya sama ada di ibu negara atau di mana saja bagi memastikan kawalan dapat dipertingkatkan,” katanya pada sidang media, petang Sabtu sambil menambah kerajaan terus bertindak tegas dan keras terhadap mereka yang mengingkari PKP. Ismail Sabri berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi perjalanan udara, sama seperti perjalanan darat dan udara yang perlu mendapatkan surat kebenaran polis. “Pergerakan antara negeri hanya dibenarkan untuk kecemasan sahaja seperti kematian ahli keluarga atau isu kesihatan,” katanya. Di bawah Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, jelasnya, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya mereka bergerak lebih dari 10 kilometer sepanjang PKP dilaksanakan. “Jumpa pihak polis, minta kebenaran dan barulah tempah tiket penerbangan,” katanya. Ditanya mengenai syarikat penerbangan yang mula mengadakan iklan jualan tiket kepada orang ramai, Ismail Sabri berkata, mereka hanya boleh beroperasi apabila dibenarkan oleh kerajaan. “Walaupun mereka jual, tetapi daripada segi operasi akan ditentukan oleh kerajaan. “Kalau dah tamat PKP sekalipun, akan ada SOP-SOP tertentu yang akan kita perkenalkan. “Katakanlahn(PKP) tamat, bukan esok boleh bebas seperti hari-hari biasa sebelumnya, mesti ada SOP-SOP akan diperkenalkan oleh kerajaan. Kalau mereka jual sampai tarikh itu (penerbangan), kita tak benarkan maka kita tidak benarkan,” katanya.