suria

“Ada laporan, kita serah pada polis...” - Ismail Sabri komen insiden beberapa VIP ingkar PKP, hadir kenduri di maahad tahfiz

Sesi jamuan dalam sesi lawatan yang dihadiri oleh seorang orang kenamaan. Foto Facebook

POLIS akan mengambil tindakan terhadap sesiapa yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk orang kenamaan, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Sesiapa sahaja, tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang, itu asasnya.

“Saya difahamkan sudah ada laporan-laporan polis telah dilakukan. Oleh itu, kita serahkan kepada polis untuk meneruskan tindakan,” katanya pada sidang media, petang Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung tular sejak Jumaat mengenai orang kenamaan yang didakwa melanggar PKP semasa lawatannya ke beberapa lokasi.

Sejak Jumaat, tular beberapa keping gambar di media sosial mengenai seorang timbalan menteri dan exco Perak yang dilihat bersama penduduk setempat di Maahad Tahfiz di kawasan Lenggong.

Sejurus selepas itu, satu majlis makan beramai-ramai diadakan tanpa penjarakan sosial yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Perkongsian Khaled Nordin di laman sosial.

Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membidas tindakan timbalan menteri itu yang disifatkan tidak menunjukkan teladan yang baik apabila melanggar PKP.

“Bukan sebarang timbalan menteri... tidak menunjukkan contoh teladan yang baik dalam masa MCO ketika ini. 

“Di negara lain seperti New Zealand, Menteri Kesihatannya letak jawatan kerana melanggar peraturan lockdown, begitu juga orang awam di negara masing-masing melahirkan kemarahan kepada Menteri Perumahan UK dan Menteri Komunikasi Afrika Selatan atas sebab yang sama. 

“Kita tidak mahu ada peraturan-peraturan yang berbeza, kepimpinan mesti tunjukkan tauladan,” tegasnya, menerusi posting di laman sosial milik beliau, petang Sabtu.

orang kenamaan, VIP, PKP, Khaled Nordin

Artikel Lain