KEBIASAANNYA, setiap kali menjelang 1 Ramadan, umat Islam di seluruh negara akan berpusu-pusu pulang ke kampung bagi menyambut bulan penuh keberkatan bersama ahli keluarga. Tidak hirau menempuh jalan raya sesak asalkan dapat mengambil mood bersahur, berbuka puasa dan tarawih bersama orang disayangi di kampung halaman pada hari pertama Ramadan. Bagaimanapun, situasi kita meraikan kedatangan bulan puasa kali ini, yang bakal tiba beberapa hari saja lagi itu pastinya lain daripada yang lain. Ia luar biasa dan sudah pasti akan dikenang seumur hidup; umat Islam bakal menyambutnya dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini telah pun memasuki fasa ketiga, bagi membendung penularan koronavirus (Covid-19). Kerajaan mengingatkan bahawa orang ramai tidak dibenarkan pulang ke kampung dalam tempoh PKP fasa tiga dilaksanakan. E-bazar Ramadan menerusi kaedah pandu lalu serta ‘bungkus dan ambil’ makanan juga tidak dibenarkan. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis akan menambah sekatan jalan raya di seluruh negara bagi memastikan kawalan pergerakan dapat dipertingkatkan berikutan ada ura-ura orang ramai ingin balik ke kampung untuk menyambut Ramadan. Tidak mengira darjat, malah wakil rakyat juga tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara ketika menjalankan tugas di kawasan masing-masing ketika tempoh pelaksanaan PKP serta tidak boleh mengadakan perjumpaan atau program serta jamuan melibatkan kelompok yang ramai. Semua SOP dalam PKP ini pastinya mewujudkan norma baharu sambutan Ramadan berbanding kebiasaan kerana majlis berbuka puasa beramai-ramai yang menjadi kelaziman sewaktu bulan Ramadan pun tidak boleh diadakan. Walaupun kes positif Covid-19 mencatatkan dua angka sejak beberapa hari lepas, namun usaha meratakan lengkuk masih berterusan dan rakyat perlu sedar ia bukanlah satu tiket untuk mereka sesuka hati melanggar PKP. Apatah lagi menyimpan hasrat untuk pulang ke kampung menjelang Ramadan ini. Jadi, duduk sahaja di rumah. Perlu diingat, sebanyak 11 penjara sementara bagi tahanan ingkar PKP akan mula beroperasi 23 April ini, kira-kira sehari sebelum tarikh jangkaan umat Islam menyambut Ramadan. Ini memberi pilihan kepada orang ramai sama ada mahu menyambut Ramadan dengan selesa di rumah atau mungkin mahu merasakan kelainan tahun ini dengan menyambutnya di penjara. Tepuk dada tanya selera. - Bernama