suria

Lapor diri di balai polis atau aplikasi Gerak Malaysia jika mahu pulang ke rumah atau tempat kerja selepas 1 Mei - Pesanan Ismail Sabri kepada rakyat Malaysia di kampung

Kata Ismail, semua itu masih lagi berada dalam kajian awal dan jika dilaksana sekalipun, ia akan bermula selepas 1 Mei depan.

KERAJAAN peka keresahan rakyat negara ini yang terperangkap di kampung halaman masing-masing sejak sebulan yang lalu dan tidak dapat pulang ke kota kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pihaknya menerima banyak aduan mengenai hal itu dan sedang mengkaji perancangan untuk membenarkan kepulangan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: “Seharusnya diperketatkan untuk fasa ketiga” - Dr Noor Hisham komen isu kelonggaran, syor kekal apa yang dah dibuat ketika fasa 1 dan 2

"Sebelum PKP ramai rakyat kita berebut untuk pulang ke kampung masing-masing. Mereka dah berada di kampung lebih sebulan dan banyak buat aduan... tiada pakaian nak dipakai dan sebagainya.

"Kita faham keresahan dan keinginan mereka untuk pulang ke rumah dan tempat kerja. Ada yang bimbang rumah dipecah masuk. Jadi keinginan mereka untuk pulang, kerajaan tahu begitu tinggi sekali.

"Lebih-lebih lagi apabila saya mengumumkan kelonggaran akan diberikan kepada pelajar Insitut Pengajian Tinggi Awam/Swasa (IPTA/IPTS) untuk mereka dibenarkan ke kampung halaman masing-masing," ujarnya pada Rabu.

Namun kata Ismail, mereka tidak boleh menggunakan kaedah sama untuk dua kumpulan itu memandangkan situasi keberadaan mereka berbeza.

Malah katanya, pergerakan membawa pulang pelajar IPTS dan IPTA lebih mudah kerana kerajaan tahu jumlah sebenar mereka serta status kesihatan semasa memandangkan semuanya berada di kampus sahaja.



Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Pelajar kita tahu berapa jumlah mereka, kita boleh rancang dan tahu status kesihatan sebab ada dalam kampus dan sentiasa dipantau.

"Sedangkan mereka di kampung berselerak di merata tempat, tak tahu jumlah mereka. Jika ada perancangan bawa pulang, kita kena tahu jumlah mereka," ujarnya.

Bagi peringkat awal, Ismail menasihatkan mereka yang terperangkap di kampung dan mahu kembali pulang ke tempat masing-masing agar melaporkan diri ke balai polis yang terdekat.

Malah, bermula Jumaat ini, pihak PDRM turut memperkenalkan aplikasi 'Gerak Malaysia' untuk mereka melaporkan diri secara dalam talian.

"Jika berkeinginan untuk pulang ke tempat kerja atau rumah masing-masing, boleh mula melaporkan diri kepada polis secara online.

"Mohon secara online, nama, jumlah keluarga dan sebagainya, untuk pulang ke mana dan daripada kampung mana.

"Yang tiada telefon untuk mendaftar, boleh lapor di balai polis berdekatan. Untuk elak kesesakan, perlu buat temu janji supaya boleh atur pergerakan masing-masing," ujar Ismail.

Namun katanya, semua itu masih lagi berada dalam kajian awal dan jika dilaksana sekalipun, ia akan bermula selepas 1 Mei depan.

PKP, Covid-19, pelajar

Artikel Lain