suria

Teruja bertukar hiba... emosi bakal pengantin ke laut, persiapan 'musnah' angkara PKP - “Dapat nikah online pun syukur, janji halal”

h4

BUKAN sehari, bukan dua hari... tapi ada yang sudah dirancang sejak setahun yang lalu, mungkin juga lebih lagi.

Namun apakan daya, hari bahagia terpaksa ditunda, malah apa pula yang terpaksa dibatalkan dek penularan Covid-19 yang sedang melanda.

ARTIKEL BERKAITAN: Kini giliran Selangor benarkan nikah online

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu diibaratkan seperti 'meranapkan' impian bakal pengantin sehingga ia memberi kesan kepada emosi mereka.

Berdasarkan tinjauan maya yang dijalankan mStar, beberapa individu tampil berkongsi kisah mereka.

Dua kali tunda

Antaranya, seorang bakal pengantin lelaki dari Shah Alam, Selangor, iaitu Mohd Redzuan Ahmad.

Kata jejaka berusia 22 tahun itu, dia mengakui cukup terkesan apabila majlis perkahwinannya terpaksa ditunda buat kali kedua kerana PKP.

"Saya sepatutnya berkahwin pada 15 Februari lepas, tapi atas sebab tertentu melibatkan kewangan, kami tunda kepada 28 Mac.



Jais membenarkan nikah secara online bermula Isnin, sekaligus memberi ruang buat bakal pengantin mendirikan rumah tangga dalam tempoh PKP.

"Tapi 18 Mac dah mula PKP. Maka dua kali kami terpaksa tunda. Memang sedih, nak happy pun tak boleh.

"Barang semua kita dah prepare, dah settle. Bila dapat tahu tu, pasangan saya pun sedih.

"Tapi kami kena tabah, kena terima dugaan. Saya pun bagi kata-kata semangat untuk bakal isteri," ujarnya sewaktu dihubungi.

Namun kata Redzuan, dia bagaikan mendapat rezeki awal sempena bulan Ramadan apabila dibenarkan bernikah secara sidang video pada Khamis ini, sehari sebelum umat Islam di Malaysia dijangka menunaikan ibadah puasa.

Ujarnya, biarpun situasi itu cukup berbeza dan tidak sama dengan majlis yang diimpikan, dia menerima keputusan itu seadanya dan bersyukur dengan kelonggaran yang diberi.

"InsyaAllah dalam 9,30 pagi, 23 April ini saya akan berkahwin.



Redzuan bersama bakal isterinya.

"Nak tak nak kena terima. Sebab benda yang bukan kebiasaan kita. Biasanya kahwin depan-depan.

"Tapi kali ni video call dari rumah saya, rumah bakal isteri dan tempat tok kadi," ujar Redzuan lagi.

Teruja jadi hiba

Sementara itu, seorang lagi bakal pengantin perempuan, juga dari Selangor yang mahu dikenali sebagai Qyla mengakui turut terkesan kerana sudah lama membuat persiapan untuk berkahwin.

Ujar gadis itu, perancangan yang sudah dimulakan sejak tahun lalu bagaikan musnah sama-sekali.

Malah, dia dan pasangan juga sudah mengeluarkan wang untuk membayar deposit pelamin, katering, hantaran, solekan, inai dan sebagainya.

"Tak pernah sangka benda ni akan berlaku. Kita tak tahu rancangan tuhan tu macam mana, tahun 2020 ni sangat mencabar buat pengantin bila apa yang kita dah rancang terpaksa dibatalkan dan ditangguhkan ke masa yang akan datang sebab Covid-19.



Persiapan sudah dilaksana sejak tahun lalu namun perkahwinan Qyla pada 12 April terpaksa ditunda.

"Siapa je yang tak bahagia dan rasa excited bila nak berkahwin kan? Semua orang mesti rasa excited tapi excited tu bertukar jadi hiba.

"Hancurnya hati tu tuhan saja yang tahu, ingatkan dapat refund tapi tak, cuma katering je dapat refund. Bayangkan dah penat lelah kerja keras sebab nak kahwin akhirnya tak jadi. Sedih tu memang sedih tapi mungkin ada hikmah," ujarnya yang sepatutnya berkahwin pada 12 April lalu.

Sebagaimana kisah Redzuan, Qyla juga bagaikan menerima berita gembira apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membenarkan akad nikah melalui sidang video mulai Isnin, dengan syarat mendapat kelulusan khas pihak itu.

"Akhirnya doa termakbul walaupun tak dapat nikah macam yang diimpikan, dapat nikah melalu video call pun dah syukur. Janji halal," ujarnya lagi.

Sukar tidak boleh bersemuka

Bukan sahaja pengantin, seorang gadis yang bakal menjadi tunangan orang turut mengakui terkesan dengan situasi semasa yang melanda negara.

Menurut Nur Fatihah Jamaluddin, 27, dari Rawang, Selangor, dia berasa sedih dan tertekan apabila majlis pertunangan yang sepatutnya berlangsung pada 29 Mac lalu ditunda.



Fatihah mengakui sukar berbincang mengenai hal penting itu menerusi telefon sahaja. (Gambar Hiasan).

"Sedih, rasa tertekan. Dah lah tak dapat jumpa depan-depan untuk berbincang. Emosi, main taip je WhatsApp. Nak ambil positif hal ni pun ambil masa agak lama.

"Memang sedih masa mula-mula tunda. Tapi kami dah bincang, segala persiapan tunang yang ada kami guna untuk majlis pada Julai, kahwin terus.

Melihat hikmah di sebalik apa yang berlaku, Nur Fatihah berkata perkara itu membantu dia dan bakal pasangan mengelakkan pembaziran apabila tidak perlu mengadakan majlis pertunangan dan terus melangsungkan perkahwinan sahaja.

PKP, Covid-19, pengantin, tok kadi, Jais

Artikel Lain