suria

Sasar ujian saringan lebih lancar, kabinet keselamatan bio bergerak di lokasi PKPD Pasar Borong Selayang

Dr Noor Hisham Abdullah.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti kes positif Covid-19 yang terdapat di negara ini sama dengan ciri-ciri virus di Wuhan, China iaitu strain B.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata virus jenis B itu dikenal pasti berdasarkan kes seramai 22 pesakit pada gelombang pertama wabak itu.

“Kes pertama kita dapati pada 25 Januari melibatkan 16 warganegara China. Kita ada enam kes yang bukan warganegara China dan rakyat kita juga terlibat termasuk seorang warganegara Amerika Syarikat (AS).

“Jadi kita melihat kepada virus tersebut dan bandingkan dengan gelombang kedua iaitu warganegara Malaysia dan kita lihat pada gelombang pertama.

“Kita asingkan virus itu, kulturkan dan kaji. Hasil yang kita dapat sama dengan (virus) di Wuhan iaitu strain B. Itu yang kita kenal pasti, ” katanya.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata penyelidikan sedang dilaksanakan untuk mengenal pasti virus yang terdapat di negara ini memandangkan ada strain lain di gelombang kedua.

“Ada datang dari Jepun, PUI di Itali, jadi kita lihat di Sarawak sekarang ada daripada Itali Adakah ia strain A, B atau C.

“Ada yang datang dari AS, UK jadi kita sekarang tengah melaksanakan penyelidikan untuk asingkan virus daripada pesakit-pesakit kita, sampel yang kita ada.

“Kemudian kita akan kulturkan virus tersebut dan kita kaji sama ada mutasi atau kenal pasti jenis virus yang kita ada. Jadi kita harap apabila kita dapat kajian tersebut, ia jadi penanda aras buat perbandingan dengan negara lain, ” katanya.

Jelasnya lagi, disebabkan banyak kes import dari merata negara besar kemungkinan terdapat strain A, B dan C.

“Kalau ada A, B dan C peratusan dia berapa. Jadi kita nak tahu lebih lagi. Hanya ada penyelidikan barulah kita dapat jawab soalan kita tu, ” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham terdapat tiga strain Covid-19 dengan jenis A dikatakan terdapat di AS (berpunca dari kelawar), jenis B pula terdapat di China manakala di Malaysia, Singapura dan Eropah pula Jenis C.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata KKM bercadang untuk menempatkan kabinet keselamatan bio bergerak di Pasar Borong Selayang, lokasi terbaharu diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Kita akan memulakan projek in,contohnya di PKPD Pasar Borong Selayang kerana ujian swab boleh dijalankan dengan pantas, ” katanya.

Jelasnya lagi, buat masa ini KKM akan menempatkan kelengkapan itu di lapangan terbang dan beberapa klinik kesihatan di mana keputusan dapat diperoleh dalam tempoh 30 hingga 45 minit.

Artikel Lain