suria

Kereta langgar lori ketika dalam perjalanan pulang ke kem, dua anggota tentera maut

Keadaan kereta yang dinaiki anggota tentera terbabit selepas melanggar sebuah lori. Foto: Bernama

DUA anggota tentera yang dalam perjalanan pulang ke Kem Tentera Darat Mempaga di Bentong, maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar lori di Kampung Lebu, kira-kira 20 kilometer dari kem itu pada Rabu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh, nahas jalan raya itu berlaku dalam keadaan hujan lebat.

ARTIKEL BERKAITAN: Minta isteri ambil lesen kereta, rupa-rupanya petanda ajal... anggota polis rebah ketika berjoging

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3.30 petang itu, Mejar Mohd Shaiful Azhar Saad, 38, dari Baling, Kedah meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Sementara pemandu kereta Proton Saga milik Angkatan Tentera Malaysia, Koperal Azizul Azmy, 33, dari Ulu Kinta, Perak yang parah di kepala disahkan meninggal dunia pada pukul 5.50 petang semasa menerima rawatan di Hospital Bentong, ” katanya kepada pemberita.

Katanya kedua-dua mereka difahamkan dalam perjalanan pulang ke kem tentera itu selepas pegawai terlibat selesai menghadiri mesyuarat di ibu negara.

Kamarulzaman berkata pemandu lori muatan barangan runcit itu yang berusia 39 tahun dari Terengganu terselamat dalam kejadian itu.

Jenazah pegawai itu dibawa ke Hospital Bentong, katanya. - BERNAMA

tentera, kem, nahas, lori

Artikel Lain