suria

“Sambutan ulang tahun kelahiran terindah sepanjang hayat saya” - Dr Noor Hisham

Dr Noor Hisham melihat kek yang dihadiahkan oleh pengamal media sempena hari lahirnya ke 57 tahun selepas sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada Selasa lalu. - fotoBERNAMA

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada Rabu merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas ucapan sempena ulang tahun kelahiran beliau.

Beliau menyifatkan ulang tahun kelahirannya yang ke-57 pada Selasa dengan iringan doa ramai rakyat Malaysia adalah ulang tahun yang akan sentiasa tersemat dalam memorinya.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyampaikan ucapan hari lahir dan doa yang sungguh bermakna. Ia sesungguhnya merupakan sambutan ulang tahun kelahiran yang terindah sepanjang hayat saya.

“Terima kasih semua rakyat Malaysia dan marilah kita semua terus memerangi dan menamatkan rantaian jangkitan Covid-19. Kekal selamat dan duduk rumah, ” ciap beliau malam Rabu.

Ribuan netizen mengambil peluang menghantar ucapan hari lahir kepada Dr Noor Hisham yang menyambut ulang tahunnya pada Selasa.

Laman sosial seperti Twitter, Facebook dan Instagram dibanjiri ucapan tahniah dan doa untuk Ketua Pengarah Kesihatan itu, tokoh penting di barisan hadapan dalam perjuangan negara memerangi pandemik Covid-19.

Tanda pagar #HappyBirthdayDGHisham tular di Twitter. - BERNAMA

Dr Noor Hisham, KKM, ulang tahun, Covid-19

Artikel Lain