suria

Doktor kelahiran Malaysia meninggal dunia akibat Covid-19 di UK

Beliau merupakan pakar perunding neonatologi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Birmingham.

SEORANG doktor pakar bidang neonatologi dari Malaysia meninggal dunia akibat Covid-19 di Birmingham, England.

Dr Vishna Rasiah yang juga pakar perunding neonatologi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Birmingham meninggal dunia pada usia 48 tahun, meninggalkan isteri dan seorang anak perempuan.

Menurut Yayasan Wanita dan Kanak-kanak Birmingham pada Jumaat, dia merupakan doktor dalam bidang itu yang dipandang tinggi dalam kalangan rakan serantau.

Kata Ketua Eksekutif Hospital Kebajikan Wanita Birmingham, Sarah-Jane Marsh, Dr Vishna merupakan doktor yang hebat dan cukup berdedikasi.

"Pemergiannya sangat mendukacitakan kami, terutamanya yang terlibat dalam bidang neonatal dan juga isteri serta ananknya.

"Biarpun sedih, kami akan mengenang nilai serta visi dan sikap belas kasihan yang diterapkan Dr Vishna. Semoga dia bersemadi dengan tenang," ujar Marsh dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, isteri Dr Vishna yang dikenali sebagai Liza berkata, suaminya merupakan seorang ketua keluarga yang penyayang kepada anak mereka, Katelyn.

“Kami bersedih atas pemergian Vish. Dia suami dan bapa penyayang kepada anak kami, Katelyn, dia juga anak dan abang yang disayangi oleh keluarga kami di Malaysia dan Trinidad," ujar isterinya. - The Star.

Covid-19, UK, Malaysia, Dr Vishna Rasiah

Artikel Lain