suria

Hikmah di sebalik Covid-19... air sungai, perairan negara kini lebih bersih dan jernih

Pemandangan Sungai Klang kelihatan bersih sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan pada 18 Mac. Foto Bernama

SELURUH dunia kini bergelut dengan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, setiap dugaan atau ujian yang berlaku ada hikmah di sebaliknya, terutama kesan pada alam sekitar.

Sejak wabak Covid-19, banyak kegiatan manusia terhenti dan dilaporkan terdapat peningkatan kualiti alam sekitar.

Kebanyakan negara melaporkan perairan atau sungai mula kelihatan bersih, dengan hidupannya di dalamnya juga kelihatan.

Senario yang sama turut berlaku di Malaysia, menyaksikan kualiti air Sungai Klang menjadi lebih bersih dan jernih, sebagaimana yang dilaporkan penduduk tempatan.

Malah, Pusat Alam Sekitar Global (GEC) menerusi laporan media menyatakan peningkatan kualiti air sungai dapat dilihat terutama di Sungai Gombak, Sungai Way dan Sungai Kemunsing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dikuat kuasakan oleh kerajaan sejak 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.



Air yang bersih dan jernih di pantai Batu Ferringhi, Pulau Pinang berikutan efluen dilepaskan dari loji rawatan kumbahan IWK.​​​​​​

Jika sebelum ini, sungai-sungai tersebut sering menjadi ‘mangsa’ dan tumpuan pengaliran sampah sarap di kawasan komersial, industri dan kediaman.

Bukan setakat itu, banyak sungai di Malaysia tercemar teruk sehingga menyebabkan gangguan bekalan air bersih di beberapa negeri, terutama di Selangor.

Pada tahun lalu, penduduk Selangor terpaksa melalui keperitan hidup akibat gangguan bekalan air susulan tindakan segelintir individu yang tidak bertanggungjawab mencemarkan alam sekitar.

Insiden jenayah seperti membuang bahan buangan industri secara haram telah melumpuhkan bekalan air bersih kepada pengguna.

Selaku syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd segera bertindak secara proaktif dengan mengerahkan banyak tenaga kerjanya untuk mengekang tindakan tersebut.

Namun, masih terdapat lebih 400,000 lurang-lurang pembetungan di seluruh negara yang berpotensi menjadi tumpuan penjenayah untuk melakukan kegiatan haram.

Menurut IWK, sebagai salah satu perkhidmatan penting negara, ia akan terus beroperasi dan menyelenggara sistem pembetungan awam serta menyediakan perkhidmatan pembetungan kepada rakyat Malaysia.

“Bekerja dalam industri 3D iaitu kotor, sukar dan bahaya dan sering dilupakan, IWK melaksanakan kerja-kerja di peringkat akhir kitaran air iaitu merawat air sisa kumbahan daripada pelbagai premis, kepada suatu tahap di mana efluen terawatnya selamat untuk dilepaskan kembali ke perairan atau sungai.

“Barisan hadapan pekerja operasi yang menguruskan sebanyak 8,147 loji rawatan kumbahan dan stesen pam, sentiasa melakukan kerja pada tahap terbaik bagi memastikan sistem pembetungan beroperasi dengan lancar pada waktu tempoh yang sukar ini,” menurut IWK dalam satu kenyataan.



Perairan lebih bersih di Sungai Simpang Kanan, Kluang sewaktu tempoh PKP.

Menurut IWK, loji-loji rawatan kumbahan beroperasi tanpa henti 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.

Sepanjang tempoh itu, keperluan kepada perkhidmatan ini tidak boleh terganggu atau gagal kerana kesannya nanti pastinya menjadi amat serius.

Jelas IWK, pada waktu segala kegiatan dan pergerakan manusia dikurangkan, loji-loji rawatan kumbahan terus melepaskan efluen terawat ke dalam sungai yang nyata menunjukkan peningkatan kualiti yang begitu ketara ketika ini.

“Kualiti efluen terawat ini telah menjalani pelbagai proses rawatan sehingga mencapai tahap yang selamat untuk dilepaskan ke dalam sungai-sungai.

“Ini adalah kerana kaedah operasi IWK yang mematuhi tahap piawaian ditetapkan oleh pihak berkuasa dan kawal selia.

“Sebagai contoh, terdapat 954 loji olahan kumbahan awam dengan jumlah kapasiti sebanyak 9,800,000 populasi setara yang melepaskan 2,200 juta liter sehari (mld) air efluen terawat ke dalam Sungai Klang dan kesemua loji ini melepaskan efluen terawat pada tahap yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Bagaimanapun, apa yang orang ramai mungkin tidak memberi perhatian adalah terdapat pelbagai punca pencemaran sepanjang sungai-sungai ini,” menurut IWK.



Petugas IWK menjalankan kerja-kerja pembersihan ekoran pelupusan sampah secara haram.

Selain efluen terawat yang dilepaskan daripada loji-loji rawatan kumbahan, terdapat juga bahan buangan seperti dari loji rawatan buangan industri, loji rawatan sampah pepejal (leachate), pasar basah, kawasan pertanian dan ternakan yang tiada kemudahan rawatan, air basuhan, pembuangan haram serta kawasan setinggan.

Tanpa pengurusan yang baik ke atas pelepasan bahan-bahan buangan ini, pastinya ia akan mencemarkan sunga-sungai di Malaysia.

Baru-baru ini, Sungai Tasek Anak berhampiran Pantai Tengah Langkawi menunjukkan kualiti air yang bersih dan jernih berbanding sebelum tempoh PKP.

Menurut IWK, sebelum ini beberapa kali pihaknya dipersalahkan oleh beberapa komuniti tempatan kerana didakwa melepaskan ‘air hitam’.

Namun sejak penutupan sektor komersil ketika PKP, ia memberitahu bahawa Loji Rawatan Kumbahan IWK Pantai Tengah (LKI029) telah melepaskan sebanyak 4.16 juta liter (MLD) air efluen terawat, sekali gus menyumbang kepada air yang lebih bersih dan jernih di Pantai Chenang dan Pantai Tengah.

“Mungkin ketika tempoh PKP ini terbukti baik untuk alam sekitar, namun tentu ada yang terfikir apa akan terjadi apabila perintah ini ditarik balik nanti dan orang ramai mula melakukan rutin harian mereka kembali.

“Sekiranya kita tidak endah lagi untuk menjaga sungai-sungai kita, sudah pasti kemusnahan sumber air kita akan berlaku lagi.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dalam menjalankan aktiviti mereka dan bersama-sama menjaga dan memelihara alam sekitar,” menurut kenyataan itu.



Keadaan Sungai Klang yang jernih semasa PKP. Foto Bernama

Dalam pada itu, IWK turut berharap orang ramai menghargai perkhidmatan yang disediakannya.

Menurut IWK, sejak penubuhannya 26 tahun lalu, pelbagai inisiatif peningkatan ke atas operasi loji-loji rawatan kumbahannya meskipun tidak menyelaraskan tarif caj pembetungan akibat kenaikan kos operasi, berikutan sebahagian kosnya ditanggung oleh kerajaan Persekutuan.

Jelasnya lagi, tarif semasa sedia ada adalah antara yang terendah di dunia dan tidak mencukupi untuk menampung kos-kos operasi dengan kadar kutipan tahunan kira-kira 60 peratus.

“Justeru, kesedaran orang ramai mengenai keperluan untuk merawat air sisa kumbahan adalah amat penting demi memastikan kehidupan alam persekitaran yang lebih baik,” menurut kenyataan itu.

IWK, Covid-19, PKP, sungai, perairan, GEC, Sungai Klang,

Artikel Lain