suria

Herba, akupuntur bukan rawatan Covid-19, hanya pelengkap proses penyembuhan - Dr Noor Hisham

Buat masa ini tiada lagi rawatan penyembuhan Covid-19.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mendedahkan doktor pakar dari China ada mencadangkan penggunaan herba dan rawatan akupuntur untuk penyembuhan Covid-19.

Namun Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata cadangan tersebut bukan sebagai rawatan tetapi pelengkap kepada penyembuhan jangkitan tersebut.

“Buat masa ini untuk Covid-19 tiada rawatan lagi. Tetapi apa mereka cadangkan seperti penggunaan akupuntur dan herba mungkin boleh percepatkan kesembuhan dan rawatan tersebut, ” katanya pada sidang media harian di Putrajaya petang Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontak rapat kluster Bali antara 2 maut, 57 kes baharu direkodkan

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kunjungan sekumpulan doktor pakar tersebut ke negara ini banyak memberi manfaat kepada KKM.

“Kita dah ada perbincangan dengan mereka dan dalam perbincangan tersebut kita bincang secara teliti dalam isu berkaitan makmal dan juga perawatan di hospital-hospital.

“Jadi mereka dapat bantu kita dari segi pengalaman mengendalikan kes contohnya dari segi tindakan dalam kesihatan awam dan kita juga lihat pengguanaan ubat-ubat yang telah dikenalpasti, ” katanya.

Malah beliau berkata, satu perbincangan mengenai ‘exit conference’ bersama mereka akan diadakan pada Jumaat.

“Mungkin kita akan bincang secara terperinci lagi. Sekurang-kurangnya mereka beri keyakinan apa tindakan kita yang telah berkesan.

“Kita juga dapat belajar kelemahan-kelemahan mereka yang cuba kita elakkan daripada berulang lagi. Jadi penting untuk kita bersama bincang dengan mereka, ” katanya.

Sementara itu Dr Noor Hisham ketika diminta mengulas mengenai tindakan sesetengah kilang yang tidak mematuhi SOP ketika PKP berkata, pihak berkenaan akan dikenakan tindakan tegas termasuk berdepan dengan penutupan sementara.

"SOP Kementerian Kesihatan ialah garis panduan untuk semua kilang-kilang.

"Contohnya kalau kilang-kilang tak patuh SOP, kita akan buat pemantauan dan juga kita akan ambil tindakan.

"Kalau tak patuhi juga, kita mungkin kena tutup kilang tersebut untuk memberi masa mereka mematuhi SOP dan garis panduan Kementerian Kesihatan," katanya lagi.

Artikel Lain