suria

Pelan Tindakan PKPB tersedia... segera laksana ‘lockdown’ di lokaliti, premis catat penularan kes Covid-19

Kawalan sempadan tetap akan diperketatkan meskipun kerajaan akan memperkenalkan PKPB bermula 4 Mei ini.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sudah mempunyai pelan tindakan sebagai persediaan bagi mendepani apa jua kemungkinan selepas kerajaan bakal melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, justeru KKM akan terus memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan akan dipatuhi kesemua sektor yang diberi kelonggaran untuk beroperasi.

Tegas Dr Noor Hisham, tindakan pantas dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan segera dikuatkuasakan sekiranya penularan kes Covid-19 dikesan di sesuatu premis atau lokaliti.

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf... tak boleh balik kampung beraya” - PM umum PKPB... ketahui apa yang boleh dan tak boleh dilakukan mulai 4 Mei ini

"Dari semasa ke semasa, kita akan memantau dari segi segi penguatkuasaan dan penguatkuasaan akan dipastikan contohnya di restoran adalah pihak berkuasa tempatan (PBT). Kita lihat penguatkuasaan kepada setiap agensi dan kementerian yang melaksanakan.

"Yang pasti mereka kena patuh kepada SOP yang telah ditetapkan. Kalau tak patuh, kita akan melihat tindakan kita. Kalau ada kes, contohnya ada penularan di sesuatu kawasan ataupun lokaliti, kita akan melaksanakan PKPD iaitu kita akan tutup kawasan tersebut.

"Kita akan laksanakan saringan, dan kita pasti akan mengasingkan mereka yang positif dan kuarantinkan mereka yang ada kontak rapat di lokaliti tersebut. Itulah cara kita bagaimana kita memantau dan ambil tindakan seterusnya," katanya dalam sidang media harian Covid-19, petang Jumaat.

Dalam pada itu ujarnya, seiring dengan PKPB yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, setiap individu diingatkan untuk meneruskan langkah pencegahan seperti yang diamalkan sebelum ini.

Sungguhpun PKPB dilaksanakan, beliau menegaskan aspek paling penting yang perlu dikekalkan adalah mengetatkan kawalan sempadan.

"Tidak seperti sesetengah negara lain apabila mereka longgarkan pergerakan, ia termasuk kawalan sempadan. Tapi hari ini kita akan perkenalkan PKPB tapi kita perketatkan kawalan sempadan

"Amat penting untuk kita terus perketatkan kawalan sempadan. Mereka yang pulang ataupun masuk ke negara ini mesti dikuarantin selama dua minggu dan kita lakukan ujian saringan kepada mereka," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

PKPB, PKPD, kes, KKM, Covid-19, lokaliti

Artikel Lain