suria

Tiada pusingan U mahupun pembatalan keputusan... BNM kesal kekeliruan berhubung moratorium

BNM kesal dengan kekeliruan yang berlaku dan akan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk infografik bagi membantu memudahkan penjelasan. Foto: The Star

BANK Negara Malaysia (BNM) telah menjelaskan bahawa faedah atau keuntungan akan terakru kepada semua produk semasa tempoh moratorium pembayaran semula pinjaman sejak awal lagi.

Justeru, tidak ada berlaku pusingan-U mahupun pembatalan keputusan sebelum ini.

Para pegawai BNM dalam satu taklimat media mengenai isu moratorium itu pada Jumaat berkata mereka kesal dengan kekeliruan yang berlaku berkenaan prosedur bagi moratorium pinjaman enam bulan itu dan berusaha sedaya upaya untuk menjelaskannya.

ARTIKEL BERKAITAN: BNM: Bank perlu beri maklumat jelas kepada pelanggan tentang perubahan syarat perjanjian

"Kami benar-benar kesal dengan kekeliruan yang berlaku. Kami berusaha menjelaskannya; tidak ada percanggahan dalam penjelasan kepada orang ramai. Ramai yang sangat gembira semasa moratorium itu kali pertama diumumkan. Malahan pada masa itu kami berusaha bersungguh-sungguh menerangkan kepada peminjam bahawa mereka perlu sedar bahawa faedah akan terakru bagi pembiayaan tertangguh ini.

"Bila keadaan kembali seperti biasa, bank-bank perlu memberi nasihat kepada peminjam tentang bagaimana pembayaran tertangguh akan dilaksanakan. Pastikan mereka (peminjam) memberi perhatian sebelum mengambil moratorium kerana ada kos padanya," kata Timbalan Gabenor BNM Jessica Chew Cheng Lian.

Semasa pengumumannya pada 25 Mac lepas, BNM telahpun menasihatkan peminjam bahawa faedah/keuntungan akan terus terakru pada pembayaran tertangguh dan mereka perlu menimbangkan perkara ini sebelum memutuskan sama ada untuk mengambil moratorium itu.

Chew berkata pelanggan boleh menghubungi terus bank mereka berhubung perkara berkaitan moratorium dan bagi mana-mana permohonan pembiayaan di bawah pakej rangsangan atau Kemudahan Bantuan Khas seperti yang diumumkan BNM.

Menurutnya, bank pusat akan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk infografik bagi membantu memudahkan penjelasan.

Bank Negara, dalam satu kenyataan semalam menyatakan peminjam sewa beli dan pembiayaan kadar tetap akan dihubungi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel atau surat berdaftar oleh institusi perbankan mereka masing-masing.

Ia berkata bagi yang mahu mengambil moratorium di bawah produk pembiayaan itu kini diminta untuk mengesahkan secara rasmi dengan bank mereka masing-masing bahawa menerima pemakluman daripada bank mereka bagi moratorium dari 1 April hingga 30 September tahun ini.

BNM berkata kekeliruan yang timbul adalah daripada salah faham, yang sedikit sebanyak mungkin disebabkan oleh ilustrasi pengiraan yang ditunjukkan dalam versi awal soalan lazimnya, yang menggunakan beberapa andaian dan kaveat. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain