suria

Kecoh media dilarang buat liputan kes anak Zahid, PKPMP nafi dakwaan - “Mahkamah tak sedar kehadiran pihak media”

Nurulhidayah (dua, kanan) dan suaminya masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di Putrajaya, Selasa kerana melanggar PKP pada 20 April lepas. Foto Bernama

KECOH media didakwa dilarang membuat liputan prosiding kes Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya di mahkamah pada Selasa.

Bagaimanapun, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) menafikan dakwaan itu dengan menjelaskan bahawa tiada larangan untuk pihak media membuat liputan prosiding kes Nurulhidayah dan suaminya yang dituduh di Mahkamah Majistret pada Selasa bagi kesalahan pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut PKPMP dalam kenyataan pada Rabu, semakan dibuat oleh PKPMP mendapati pada hari berkenaan, terdapat kes-kes lain yang telah ditetapkan selain daripada kes Nurulhidayah dan suaminya Datuk Saiful Nizam Yusoff.

ARTIKEL BERKAITAN: Ingkar PKP: Nurul Hidayah, suami didenda RM800

ARTIKEL BERKAITAN: Hukuman ingkar PKP berbeza, kerajaan tak campur tangan keputusan mahkamah - Ismail Sabri

Menurutnya, pada masa itu pegawai pendakwaan, pegawai polis dan orang awam telah menghadiri prosiding mahkamah menyebabkan mahkamah sesak dan tidak terdapat jarak sosial.

Oleh itu, katanya mahkamah telah mengarahkan agar orang awam yang berada di dalam mahkamah terbuka untuk keluar bagi memastikan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi.

"Mahkamah juga tidak sedar akan kehadiran pihak media yang membuat liputan pada hari tersebut. Oleh itu tiada isu pihak media dihalang untuk membuat liputan," menurut kenyataan itu.

Mahkamah sentiasa memastikan akses kepada keadilan dilaksanakan kepada semua pihak termasuk pihak media, menurut PKPMP.

Wakil media yang hadir untuk membuat liputan kes anak perempuan dan menantu Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu pada Selasa mendakwa tidak dibenarkan memasuki bilik bicara bagi mendengar prosiding kes berkenaan.

Butiran prosiding berkenaan kemudiannya diperoleh media daripada timbalan pendakwa raya dan peguam bela.

Nurulhidayah, 41, dan Saiful Nizam, 49, masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di Putrajaya semalam selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan melanggar PKP.

Menurut pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa telah bergerak dari sebuah rumah di Jalan Bayu Nyaman Country Heights, Kajang menuju ke ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya yang merupakan tempat dalam kawasan tempatan jangkitan COVID-19 pada 9 pagi, 20 April lepas.

Berhubung hukuman terhadap B. Lisa Christina bagi kesalahan melanggar PKP, menurut PKPMP, Mahkamah Tinggi telah menggunakan kuasa semakannya untuk menggantikan hukuman penjara kepada denda.

Wanita itu pada mulanya dihukum penjara 30 hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi kesalahan melanggar PKP tetapi Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membenarkan permohonan semakan yang difailkan wanita itu, telah mengetepikan hukuman penjara itu dan mengantikan dengan denda RM1,000.

Menurut laporan media, Lisa Christina, sorang ibu tunggal telah mempertikaikan keputusan mahkamah yang mengenakan denda RM800 ke atas anak dan menantu Ahmad Zahid. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain