suria

Sesak! Tiada penjarakkan sosial dalam KTM Komuter, ini jawab KTMB

KTMB memberi penjelasan berhubung tren KTM Komuter dari Pelabuhan Klang ke Tanjung Malim, Perak pada Isnin mengalami kesesakan penumpang. Foto Facebook

KECOH mengenai tular tren KTM Komuter sesak dengan penumpang dan didakwa tidak mempunyai garisan bagi penjarakkan sosial.

Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) pada Rabu menjelaskan penggunaan tren tiga gerabak bagi perkhidmatan KTM Komuter dari Pelabuhan Klang ke Tanjung Malim, Perak pada Isnin lepas menyebabkan berlaku kepadatan penumpang sehingga didakwa tidak mengamalkan penjarakan sosial.

Ketua Komunikasi Strategik KTMB, Ahmad Asri Khalbi berkata, ia berikutan tren enam gerabak mengalami masalah teknikal menyebabkan pihaknya terpaksa menukar tren itu kepada tiga gerabak.

"Kita memang ada buat tanda penjarakkan sosial. Dalam kejadian yang tular tu, pada awalnya kita merancang untuk menggunakan komuter enam gerabak, tetapi pada saat-saat akhir berlaku masalah teknikal jadi kita terpaksa tukar dengan komuter yang ada tiga gerabak sahaja.

"Dari segi kapasiti memang lagi kecil, orang ramai bergegas ke tempat kerja jadi mereka tetap naik sedangkan pelekat untuk penjarakan sosial sudah ada dalam dan luar tren tetapi mungkin kerana penumpang ramai berpusu-pusu, jadi itu yang menjadi masalah," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan keadaan itu hanya berlaku bagi satu perjalanan sahaja dan tidak melibatkan perjalanan lain.

Dua hari lepas, tular di Twitter memaparkan tren KTMB padat dengan penumpang dan didakwa tidak mempunyai garisan bagi penjarakkan sosial hingga menimbulkan pelbagai reaksi daripada warganet. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

KTM Komuter, KTMB, penjarakkan sosial,

Artikel Lain