AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia awal pagi Khamis. Allahyarham dilapor meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 3.00 pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung. Berita kematian Allahyarham disahkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menerusi muat naik status di Facebook rasmi beliau pagi Khamis. ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Adun Labu meninggal dunia "Mendapat perkhabaran berita sedih pemergian seorang sahabat dan rakan seperjuangan, Datuk Seri Abu Bakar Harun, yang telah kembali ke rahmatullah awal pagi ini. "Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman," katanya menerusi status itu. Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut berkongsi berita tersebut menerusi Facebook beliau. "Salam takziah kepada keluarga YB DS Abu Bakar bin Harun, Adun Chini yang telah kembali ke Rahmatullah awal pagi tadi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah," tulisnya. Abu Bakar menjadi Adun Chini selama tiga penggal sejak PRU-11. Pada PRU-14 lalu Allahyarham menang dengan mendapat 10,027 undi menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan calon PKR, Mohamad Razali Ithanin (1,065). Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!