suria

PM ucap Selamat Hari Wesak kepada penganut Buddha, harap perayaan kukuhkan hubungan sesama keluarga

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Foto: Bernama

SUNGGUHPUN sambutan Hari Wesak tahun berbeza kerana wabak Covid-19, namun Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengharapkan agar perayaan tersebut dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan bagi penganutnya.

"Saya ingin mengucapkan 'Selamat Hari Wesak' kepada seluruh penganut Buddha.

"Perayaan sebegini membuktikan bahawa prinsip dan amalan beragama dihormati dan dihayati oleh semua rakyat Malaysia.

"Saya faham bahawa perayaan Hari Wesak kali ini disambut dalam keadaan yang mencabar kerana kita sedang menempuh fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha kita memerangi wabak Covid-19.

"Tetapi saya percaya bahawa saudara saudari penganut agama Buddha akan tetap dapat memperingati sambutan Hari Wesak bersama keluarga," katanya dalam perutusan Hari Wesak di laman Facebooknya, Rabu malam.

Penganut agama ​​Buddha menyambut Hari Wesak pada Khamis (hari ini).

Dalam pada itu Muhyiddin berharap perayaan ini juga dapat memberikan seribu pengertian khususnya dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini.

"Saya sangat gembira dapat menyampaikan salam kepada semua rakan Buddha Malaysia yang akan menyambut Hari Wesak.

"Wesak adalah masa bagi semua penganut Buddha untuk merenungkan nilai-nilai asas toleransi, kasih sayang dan hubungan sesama manusia seperti yang terkandung dalam kehidupan dan ajaran Buddha.

"Saya doakan semua rakan beragama Buddha menyambut perayaan ini dengan penuh gembira bersama-sama keluarga. Semoga kita semua kekal bersatu dan terus hidup bersama-sama secara aman dan harmoni," katanya. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Hari Wesak, Buddha, Covid-19

Artikel Lain