suria

“Hormati keluarga kami” - Anak Datuk Ismail Kamus minta orang ramai henti sebar berita palsu tentang bapa

Datuk Ismail Kamus.

ANAK lelaki pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus kesal dengan tindakan segelintir pihak yang menularkan berita palsu mengenai bapanya, terutama yang membabitkan kematian.

Mohd Firdaus Ismail dalam kenyataannya juga meminta agar orang luar tidak menularkan apa-apa maklumat yang tidak sahih mengenai keadaan bapanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Berita palsu pendakwah Ismail Kamus meninggal dunia

"Saya mohon semua orang dapat menghormati pihak keluarga. Saya agak terkilan kerana memberi tekanan kepada kami untuk menjawab persoalan yang tidak benar.

"Berita rasmi dan sahih hanya akan keluar daripada dua sumber sahaja iaitu saya sendiri sebagai wakil pihak keluarga dan Exco Penerangan Pusat Perubatan Darussalam (Ustaz Abdul Hadi Jusoh), ” katanya.

Mohd Firdaus juga dalam masa yang sama meminta semua supaya terus mendoakan kesembuhan ayahnya.

Sementara itu laman Facebook rasmi Pusat Rawatan Islam Darussalam Malaysia dalam kemas kini terbarunya memaklumkan keadaan pendakwah tersebut semakin baik pada pagi Khamis.

"Alhamdulillah, laporan pagi ini menunjukkan sedikit peningkatan pada tekanan darah dan jantung sedikit stabil membolehkan pihak hospital untuk melakukan gentle dialisis sekali lagi dengan keizinan daripada pihak keluarga.

"Dengan berkat doa dari semua, semoga Datuk Ismail Kamus memberikan respon yang lebih baik selepas proses dialisis dijalankan.

"Teruskan berdoa semoga diberikan kesihatan tang bertambah baik dari hari ke hari, InsyaAllah," tulis kenyataan pentadbir laman tersebut.

Keadaan Ismail dilaporkan semakin baik.

Exco Penerangan Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, Abdul Hadi Jusoh pada Rabu berkata, khabar angin yang menyatakan Ismail, 72, meninggal dunia adalah palsu.

Menurutnya, perkembangan terkini menunjukkan Ismail yang juga juga pengasas dan penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia dalam keadaan baik.

"Laporan perubatan semasa daripada pihak doktor pagi ini menunjukkan keadaan Ustaz Ismail sedikit baik.

"Justeru, pihak keluarga telah membuat keputusan untuk mengekalkan beliau bagi mendapatkan rawatan di hospital, ” kata Abdul Hadi dipetik Harakahdaily.

Tambahnya, ketika ini Ismail sedang dalam pemantauan dan rawatan oleh pihak hospital.

Veteran PAS itu dimasukkan ke wad di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 26 April disebabkan keadaaan kesihatan yang agak lemah.

Tambah Abdul Hadi, ketika itu pemeriksaan mendapati keadaan tidak berkait dengan masalah jantung dan kemudiannya Ismail terus dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari yang sama.

Jelas beliau, pemeriksaan di HKL mendapati terdapat jangkitan pada paru-paru, sementara ujian koronavirus (Covid -19) dilakukan sebanyak dua kali dan keputusannya adalah negatif.

Ismail, 72, yang merupakan pengasas dan penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia pernah menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9 Mei tahun lalu.

Beliau merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia dan pernah memegang jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

IJN, Ismail Kamus

Artikel Lain