suria

Dua pelajar positif Covid-19 selepas tiba di Sabah mungkin dijangkiti akibat terdedah dengan pekerja

KKM sedang mengenalpasti punca sebenar jangkitan kes pelajar di Sabah. Foto: Bernama

KES dua pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dikesan positif Covid-19 selepas tiba di Sabah dari Semenanjung berkemungkinan mendapat jangkitan akibat terdedah dengan pekerja di kampus berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Sr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca sebenar jangkitan wabak berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar IPT di zon merah dilarang pulang, wajib jalani saringan kesihatan - Ismail Sabri

ARTIKEL BERKAITAN: 43 pelajar Malaysia pulang dari Indonesia bentuk kluster baharu Covid-19

"Ya memang ada dua pelajar tersebut. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Tapi apa yang perlu dilakukan adalah 'active case detection' di mana KKM menjalankan siasatan punca jangkitan Covid-19.

"Kita telah lihat universiti yang terlibat dan kita menjalankan saringan dan ujian ke atas universiti tersebut.

"Walaupun mereka telah dikuarantin untuk tempoh empat minggu, tapi ada pendedahan dengan pekerja di universiti, pekerja tersebut keluar masuk.

"Besar kemungkinan ada pendedahan tersebut. Walau bagaimanapun KKM sedang jalankan siasatan," katanya menjawab pertanyaan pemberita ketika sidang media harian Covid-19 pada Rabu.

Pada 11 Mei lalu Sabah mencatatkan peningkatan mendadak kes baharu positif Covid-19 dengan 10 kes dan dua daripadanya adalah pelajar universiti yang tiba dari Semenanjung.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Christina Rundi, berkata daripada 10 kes baharu itu, tujuh sampel diambil di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Tawau.

Katanya, tiga lagi kes dikesan melalui Lapangan Terbang Sandakan dan sudah diarahkan untuk melakukan pengambilan sampel di destinasi akhir masing-masing.

Jelas Christina lagi, siasatan ke atas kontak rapat sedang giat dijalankan.

Sehingga kini Sabah mencatatkan jumlah kes positif sebanyak 328 kes.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

pelajar, Sabah, KKM, Covid-19

Artikel Lain