suria

Tahun ini raya bukan sebulan, tapi sehari saja pada 1 Syawal... lupakan rumah terbuka!

Orang ramai digalakkan untuk mematuhi penjarakkan sosial sepanjang aktiviti ziarah pada hari raya pertama. -Gambar hiasan

AKTIVITI ziarah-menziarah sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi hanya boleh dilakukan pada hari pertama saja.

Malah Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kunjungan itu turut dihadkan kepada seramai 20 orang ahli keluarga terdekat saja sepanjang hari tersebut.

"Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam memutuskan untuk mengehadkan aktiviti ziarah-menziarah pada hari pertama saja.

"Malah ia juga terhad kepada ahli keluarga terdekat saja dan tidak boleh melebihi 20 orang satu hari," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, Rabu petang.

Beliau berkata sepanjang aktiviti tersebut orang ramai dinasihatkan supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Katakan flat yang berukuran 600 kaki persegi, 20 orang pada satu masa terlalu ramai dan tak boleh dilakukan penjarakkan sosial.

“Jadi boleh lima orang datang sekali pada satu masa tapi maksimum tetap 20 orang pada satu hari tersebut,” katanya.

Jelasnya lagi, orang ramai juga digalakkan untuk tidak berkongsi makanan dengan ahli keluarga terdekat pada Aidilfitri kali ini.

"Jangan berbagi-bagi makan (kongsi makanan). Kita biasa adik-beradik kita, apa dia makan kita pun makan tapi bukan untuk hari raya tahun ini. Kita cuba elakkan.

"Kalau boleh galakkan pakai topeng muka dan yang penting penjarakkan sosial kalau boleh. Juga sediakan hand sanitizer atau basuh tangan dengan sabun," katanya.

Ismail Sabri berkata peraturan itu turut terpakai untuk mereka yang bakal meraikan sambutan Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai (Sarawak).

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tradisi rumah terbuka juga tidak dibenarkan.

"Tidak ada open house. Perkara itu terlarang dibawah Akta 342. Rumah terbuka tidak dibenarkan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain