KETIKA kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus hangat, satu rakaman suara 'bocor' didakwa menggambarkan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu sebelum keluar daripada Pakatan Harapan (PH) menjadi tular di media sosial. Rakaman berdurasi satu minit mirip suara Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu mesyuarat supaya memberi kepercayaan kepada Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk memutuskan sama ada akan kekal atau meninggalkan PH. "Dan di kala itu mungkin kita boleh tunggulah bila Tun jumpa dengan ketua presiden parti, okay we wait for one week, for whatever it is, then we will be more sober. Hari ni a bit emotional. "Dan kita fikirkan soal yang paling besar dalam sejarah kita iaitu out of PH moving to the coalition, but we still be the government. Government led by Bersatu, that is important, " kata lelaki dalam rakaman berkenaan. Menurut sumber, mesyuarat itu diadakan pada 23 Februari lalu sebelum pertemuan lain di Hotel Sheraton pada malam itu yang turut dihadiri Ahli Parlimen Barisan Nasional dan bekas Timbalan Presiden PRK, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Difahamkan pemimpin yang hadir dalam mesyuarat itu sangat emosional dan tidak berpuas hati mengenai pertemuan pada malam 21 Februari lalu. Pada pertemuan itu, pemimpin Pakatan mendesak Dr Mahathir untuk menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan Bersatu mengancam untuk undur diri daripada gabungan itu. Namun krisis itu berakhir apabila Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri dari gabungan Perikatan Nasional (PN) pada 2 Mac lalu. - The Star Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!