suria

Agak lemah, berat badan Ustaz Kazim susut tapi punca penyakit masih belum diketahui - Abang

Doktor membenarkan Ustaz Kazim pulang dan berehat di rumah selepas tiga hari di hospital.

KELUARGA Datuk Mohd Kazim Elias gembira akhirnya pendakwah terkenal itu dibenarkan pulang ke rumah selepas tiga hari menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Ipoh, Perak

Abangnya, Datuk Mohd Najmuddin Elias berkata, kebenaran itu diberikan pihak hospital setelah berpuas hati dengan tahap kesihatan pendakwah tersebut yang semakin memuaskan.

"Setelah urusan hospital selesai, adik saya dibenarkan keluar untuk berehat di rumah.

"Keadaannya agak lemah dan berat badannya telah berkurangan, apa pun kami gembira dan bersyukur beliau dibenarkan pulang," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, Khamis.

Beliau berkata, punca penyakit dialami Mohd Kazim masih belum diketahui walaupun telah beberapa kali melakukan proses Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan Ultrasound.

Begitupun pihaknya tidak mahu membuat sebarang andaian termasuk kemungkinan terkena sihir seperti yang diperkatakan banyak pihak.

"Kami tidak boleh membuat berbagai andaian waktu ini termasuk unsur mistik, adalah lebih baik memberi ruang beliau berehat di samping tunggu dan lihat perkembangannya dalam waktu terdekat ini," katanya.

Ahad lalu, Mohd Kazim memuat naik gambar berada di hospital sedang menjalani rawatan selepas mengadu sakit perut, pinggang dan bahagian belakang badan.

Beliau dilaporkan menghadapi masalah tidak boleh tidur lebih daripada dua bulan dan sejak dua minggu lalu kesihatan Pengasas Pusat Pendidikan Al-Barakah itu semakin tidak stabil sehinggalah dimasukkan ke wad, Selasa lepas.-sinarharian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Kazim, ultrasound, MRI, Ipoh, mistik

Artikel Lain