suria

Perjalanan pulang pelajar UPSI ditangguh, perlu jalani ujian saringan selepas dikesan 2 kes positif Covid-19 - Ismail Sabri

Perjalanan pulang bagi pelajar UPSI ditangguh sementara susulan dua pelajar universiti itu positif Covid-19. Gambar hiasan/Foto Berna,a

PERJALANAN pulang bagi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak ditangguh sementara, berikutan terdapat dua pelajarnya dilaporkan positif Covid-19.

Susulan itu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua pelajar UPSI perlu menjalani ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

"Pelajar UPSI yang masih ditahan di UPSI kerana kita akan membuat saringan, selepas dilaporkan dua pelajar UPSI yang pulang ke Sabah didapati positif Covid-19.

"Sedangkan dulu kita merasakan apabila mereka berada dalam kawasan universiti, tak keluar ke mana-mana dalam tempoh lebih sebulan, kita menganggap tak ada lagi sebab tempoh inkubasi (Covid-19) telah selesai dua kali.

"Sepatutnya tempoh inkubasi dua minggu, tapi ada lagi yang tiba-tiba didapati positif. Jadi di UPSI, kita hentikan dulu untuk buat saringan sebelum dibenarkan pulang. Tapi bagi pelajar Sabah dan Sarawak sebab ada kuarantin wajib (di negeri-negeri masing) maka kita benarkan," katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media bahawa lebih 300 penumpang pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur ke Tawau melalui dua penerbangan berasingan pada 1 dan 4 Mei lalu diminta tampil untuk menjalani saringan kesihatan kedua dengan segera.

Ia susulan daripada kesemua penumpang kedua-dua penerbangan berasingan itu, enam daripadanya didapati positif Covid-19.

Ketika ditanya sama ada kerajaan perlu meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) bagi penerbangan domestik, Ismail Sabri menjelaskan terdapat dua SOP berbeza bagi penerbangan domestik.

"Bagi penerbangan dalam Semenanjung, kapasiti adalah separuh daripada jumlah penumpang atau maksimum 66.4 peratus untuk penjarakkan sosial.

"Tapi bagi penerbangan ke Sabah, Sarawak atau penerbangan dari luar masuk ke negara kita... kita benarkan kapasiti penuh kerana mereka akan dikuarantin secara wajib apabila sampai," katanya yang merujuk kepada penumpang dari Semenanjung yang akan ditempatkan di pusat kuarantin di Sabah dan Sarawak.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

UPSI, Covid-19, pelajar, Sabah, Sarawak,

Artikel Lain